Monday, November 30, 2009

Stressssssssssssss


Free Talk yang pernah aku pergi di salah satu private hospital bertajuk "Women and Cancer" mengatakan punca utama perempuan mengidap kanser adalah kerana stress. Tak kira sama ada dari tempat kerja atau di rumah. Sekiranya anda merasa stress setiap kali hendak pergi kerja, itu bermakna kita mendedahkan diri kita kepada kanser. Jadi langkah yang perlu diambil sekiranya anda tidak mampu menyukai kerja anda (walaupun dah buat macam2 cara), anda perlu quit from the job and find new job.

Tapi seandainya rumah sendiri pun mendatangkan stress kepada kita? What should we do? Quit from "wife" or "mom" post? Mustahil kan?


Aku stress betul kalau ditanya soalan mengenai topik yang satu. Memang stress sangat. Kadang2 boleh meleret2 topik tu sampai sehari, bergaduh, bertekak, berbahas.... Oh My Coach. Kadang2 sebagai suami isteri topik tu tak pernah pun menjadi masalah kepada kami tapi bila ia melibatkan campurtangan orang2 lain (khasnya tetamu yang narrow-minded) ia akan menyebabkan aku berkecil hati, merajuk dan akhirnya bergaduh (sebab kecewa). So please la strangers, jangan buat conclusion on our marriage. Jangan susah2kan hati anda berfikir dan bertanya perkara yang tak pernah kami susah hati. Tolonglah...

Dulu hubby gila pancing. Most of the time dia memancing aku akan ada sebelah dia. Masa menunggu ikan kami akan berborak macam2 perkara, ketawa, bergurau dan kadang2 aku buat macam satu piknik, bentang tikar dan makan bekalan bersama2. Memang seronok. Kalau hubby dapat ikan aku yang paling happy sekali. Excited! Kalau aku plak yang dapat ikan dulu, hubby tak senang duduk sebab dia nak dapatkan ikan yang lebih besar dari aku. Tapi semenjak hubby ada hobi baru iaitu photography, dah lama joran2nya kat rumah berhabuk. Semalam masa teman hubby dan ipar pergi kedai pancing dan ketika dia membelek sebatang joran Abu Garcia aku mula bersuara, "Sebelum ni masa hobi awak memancing, walaupun hobi tu tak mendatangkan duit, tapi kita sangat gembira kan? Tapi skarang...." Aku kira hubby sudah tau sambungan kata-kata seterusnya. Dia diam lama.. sebelum bersuara "betul kata awak."

Ok... balik kepada topik asal. Stress. Please women... make sure hidup anda tidak diselubungi misteri. Opss... bukan misteri... stress. Jangan dedahkan diri kita kepada kanser. Hiasi diri kita dengan kegembiraan dan keceriaan. Hasil dari pemerhatian telah membuktikan, seseorang pesakit kanser yang menghabiskan sisa hidupnya dengan menangis, berkurung dan mengeluh mengenai nasibnya biasanya mempunyai jangka hayat yang lebih pendek berbanding pesakit kanser kritikal yang menghabiskan hayatnya dengan melakukan kerja-kerja amal di luar, dikelilingi keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa mengambil berat dan menghabiskan masa melakukan aktiviti yang mengembirakan hatinya. (read: mengembirakan hati yang tidak memudaratkan diri ye). Then...tunggu apa? U know what to do if you're stress now rite? Selamat bergembira.

Wednesday, November 25, 2009

PUISI : Wanita Biasa

Aku bukan srikandi berjasa..
Berpencak keris pertahan negara..
Aku bukan Cleopatra jelita..
Menawan dua pemimpin negara berkuasa..
Aku juga bukan dewa cinta Laila..
Yang sanggup mati demi Majnun dan cintanya..
Aku hanya wanita biasa..
Senjataku sekadar airmata dan pena..

Jangan ditanya kenapa aku menangis..
Dugaan bertimpa kesabaranku terhakis..
Jangan ditanya mana datangnya amarah..
Kerana luka hati tak terzahir darah..
Jangan ditanya mana hilangnya setia..
Aku bukan Sita Dewi..
Tali setiaku hangus dibakar Ramayana..

Walau berbatu jauh aku berlari..
Mana mungkin mampu aku bersembunyi..
Dari bebayang ketakutan aku sendiri..
Aku lelah dengan segala tohmah..
Aku rebah dibelasah musibah...
Aku damba dariMU hidayah..
Pelangi kemilau AidilAdha..

P/S: Ini mungkin nukilan terakhir sebelum AidilAdha, jadi aku mengambil kesempatan mengucapkan Salam Aidiladha buat semua kawan-kawan, followers, bloggers, kenalan, saudara mara yang berkunjung ke blog ni. Terima kasih dan aku memohon Maaf Zahir dan Batin atas segala silap dan salah samaada dari perbuatan, kata-kata atau tulisan... Yang baik datang dari Allah... yang buruk datang dari aku sendiri...
Assalamualaikum..


Tuesday, November 24, 2009

Aku Ini Wanita Biasa

Tajuk di atas tidak ada kena mengena dengan kisah perceraian KrisDayanti dan Anang. Tidak juga ada kena mengena dengan Keris Dan Yanti atau Keris Taming Sari.

Aku kira semalam merupakan hari yang malang untuk aku. Bermula dengan kehilangan harta (walaupun tak mahal, tp nilai sentimental sangat tinggi) yang paling aku sayang. Sejak aku memiliki harta tu, aku tak pernah tanggalkannya, dah jadi sebahagian dari diri aku.... dan bila aku kehilangannya... bukanlah sesuatu yang mudah untuk aku terima... dan bermulalah segala yang malang dalam hidupku...

Malam setiap sejam terjaga sehinggalah kali terakhir aku terjaga jam menunjukkan 4.30 pagi. Punca terjaga kerana mengigau melampau. Menangis kerana teringatkan hartaku yang hilang. Basah lencun bantal dek airmata.

Bangun pagi, terlalu mengantuk. Mata bengkak sebab asyik menangis sepanjang malam. Keluar dari rumah, terlanggar ayam jiran. Mati penyek! Aku toleh kiri kanan, tak ada orang. Aku drive je, jauh sikit call hubby bagitau dah terlenyekkan ayam jiran. Lepas tu sampai ofis, parking kereta, sambung nangis. Sebab kurang tidur, sebab banyak sangat nangis aku dah terlanggar ayam jiran sampai mati. Kesian ayam tu. Aku nangis sebab kesiankan ayam plak kali ni. Tu la ko ayam... sapa suh melintas macam ayam. Nasib baik aku langgar ayam. Kalau aku langgar kucing, mau skang ni aku tengah meraung sebelah bangkai kucing tu. Aku kebumikan dia ikut adat resam sepatutnya pastu bayar gantirugi secara installment kat tuan punya kucing.

Sampai kat ofis, ada dua pekerja baru sedang menunggu untuk induction training. Aku siapkan segala dokumen, panggil dua2 masuk bilik induction. Entah apa yang aku merepek kat dowang aku tak sedar tapi aku tersedar bila 2-2 asyik tersengih2 memandang aku. Bila aku tanya, "kenapa kamu senyum?" diorang jawab, "Tadi akak dah terangkan pasal benda ni... dah 3 kali". Ha!!! Sumpah tak sedar aku dah merepek benda yang sama 3 kali. Nasib baik aku tak merepek benda2 lain contohnya tentang salasilah keturunan atuk aku.

Tengah aku menaip surat tawaran kerja tiba2 datang plak seorang supervisor production mengulas tentang tindakan aku melepaskan surat yang pada perkiraanya P&C kepada pihak bawahan dan bukan melalui tanganku sendiri. Lalu aku mempertahankan diri dengan mengatakan tindakan aku relevan kerana tiada apa yang P&C dalam isi kandungan surat tersebut dan ia perlu dilakukan begitu kerana aku tak berpeluang berjumpa dengan pekerja sepanjang minggu lepas memandangkan dia bekerja syif malam. Lalu terjadilah perdebatan sehingga memaksa aku mendail bahagian production dan meminta pekerja tersebut naik ke atas. Lepas lepuk lepak bertekak, berbahas dan berdebat tentang isi kandungan surat, masuk pula bos aku yang kononnya ibarat ultraman yang datang last minute menyelamatkan bumi. Elok je terpandang muka bos aku, terus pekerja tu sign surat tanpa banyak soal. Dahsyat tul ultraman ni, belum lagi kuarkan power laser, raksasa dah lari. Bila raksasa lari, ultraman pun menasihatkan aku supaya jangan bertekak dengan orang bawahan. Suh je supervisor dia yang bertekak dengan dia. Aku jangan masuk campur. Camna ni Ultraman, dah double instruction, sorang kata aku lepas tangan, sorang kata aku campur tangan.

Last2 aku menangis la depan pc... nangis nangis nangis... sampai bos naik cuak. Dia ingat dia yang telah menyebabkan aku nangis. Sebenarnya aku nangis sebab teringat harta aku yang hilang. Bila aku bengang aku selalu pegang dan gigit harta aku, tapi tadi bila aku dok meraba nak cari harta tu baru aku perasan... "alamak... benda tu dah hilang," so mengembalikan ingatan aku terhadap harta aku.

Masa lunch... aku tengok bos aku rehat sorang2 dekat kantin. Jarang bos aku makan kat kantin. Dia suka makan restoran sedap2, mahal2 kat luar.... tapi agaknya sebab bestfriend dia AL hari ni, dia makan kantin je. Kebetulan bestfriend aku pun AL juga. Dia jeling aku ngan ekor mata dia bila nampak kelibat aku masuk ke kantin. Eceh eceh.... macam la aku tak perasan. Dia duduk sorang2 je kat satu meja. Ye la. Mana ada pekerja berani nak lepak semeja dengan HR & Admin Manager. Lepas aku ambik makanan aku tarik kerusi betul2 di hadapan dia. Dia angkat kepala pandang aku. Aku senyum. Dia pun senyum. Kira dia tau la aku bukan kecik ati ngan dia tadi. Soalan pertama yang aku tanya dia, "Bila you nak minta leave record for Bonus calculation dari I?" Dia berhenti makan kejap, "Siapa cakap kita ada bonus?" Aku buat2 muka terkejut. Padahal aku dah agak dia mesti cakap mcm tu, dah kenal sangat perangai bos aku ni. "U jangan cakap mcm tu, nanti semua pekerja dengar mesti diorang nangis." Dia sengih je. "Padan muka dia orang. Ini Union punya hal la." Aku rasa macam nak cubit2 je bos aku ni. Nasib baik bos aku... kalau adik aku... dah lama aku piat telinga dia. Perbualan terhenti bila ada pekerja yang menarik kerusi di sebelah kami, bertanya soal pentadbiran syarikat. Patutla bos aku tak suka makan kat kantin, tgh makan pun orang boleh tanya pasal kerja.

Elok je habis jawab soalan pekerja lebih kurang, dia pun angkat punggung. Sebenarnya dia mungkin nak lari dari menjawab soalan aku yang seterusnya sebab dia sempat meninggalkan sengih2nya sebelum pergi. Kesimpulannya, aku memerlukan wang bonus untuk membeli semula harta aku yang hilang. Memandangkan tidak ada bonus tahun ni dan bagi mengelakkan diri aku dirundung malapetaka bertimpa2 dengan ini aku melancarkan... Tabung Dana Harta Vic Yang Hilang. Derma boleh dibuat melalui maybank2u atau cek berpalang ke atas nama aku. Setiap sumbangan anda amatlah dihargai. Sekian, terima kasih.

Thursday, November 19, 2009

Crocs Untuk Hubby

Sudah letih berfikir tentang hadiah untuk hubby. Hajat sehingga lewat semalam aku masih ingin membeli perfume Paco Rabanne untuknya. Tapi masih menimbang2 kerana perfume botol runcing DKNY miliknya masih berbaki setengah botol. Hadiah tahun lepas.

Hubby kata, "belikan sehelai baju sudah. Yang murah-murah," ala.... berbasa-basi pulak. Sudah hampir 5 tahun hidup bersama. Aku kenal sangat definisi murah pada dia. Hakikatnya baju yang "murah" itu semuanya dah dihantar ke almari di rumah mak. Buat baju basahan! Yang disimpan di dalam almari rumah kami... cuma yang "tidak murah" sahaja. Kerana itu bila perutnya naik seperti perempuan mengandung 3 bulan, dia bermatian2 diet. Katanya... "sayang... baju banyak.... tak boleh pakai". Sayang baju atau sayang duit beli baju2 tu... ntahla..

Asalnya hubby tak suka Crocs. Macam2 yang dia kutuk tentang Crocs. Pernah aku ulas tentangnya di sini dan di sini. Tapi satu hari ketika hendak keluar menjalankan part-time job dia sebagai photographer, hujan turun renyai-renyai. Sayang kalau kasutnya kena hujan, dia menyarung Crocs emak. (Tak sarung Crocs aku sebab katanya terlalu 'perempuan', siap ada nama pulak tu). Bila balik dia bercerita tentang Crocs emak. Redah hujan, lecak, berlari mengejar "moment terindah pengantin" segalanya berjalan amat mudah. Kena lumpur atau lecak, cuma basuh saja. Kaki kurang lenguh, kurang penat. Tak bermasalah ke sana sini walaupun penuh lumpur lecak. Terlupa barangkali, kasut yang dipujinya itu adalah CROCS, jenama yang paling dia benci satu masa dulu. Itulah yang dikatakan "Tak kenal maka tak cinta."

Lalu ia memberikan aku idea. Hubby pernah kata:-
"Moment terindah setiap Raja Sehari hanya berlaku sekali dan amat pantas. Hanya mereka (photographer) yang pantas sahaja yang akan berjaya merakamkan moment itu dari sudut yang paling cantik."
Maka aku memutuskan.... membelikannya CROCS bagi membantunya mendapatkan moment tersebut. Semoga hadiah ini memberi perangsang kepada hubby untuk menjadi photographer yang lebih baik. Dan.... aku lega melihat senyumannya sewaktu dia memegang Crocs tersebut malam tadi...

Selamat Hari Jadi hubby~!!

Tuesday, November 17, 2009

Perempuan Dan Diari

Diari sangat sinonim dengan perempuan. Perempuan dikatakan kaum yang amat gemar menulis diari. Walaupun bukan semua tapi majoriti daripada mereka mempunyai diari sendiri. Diari tak semestinya mengandungi segala rahsia hati kita, tapi mungkin juga perancangan kita sepanjang tahun dan perkara yang berlaku yang kita fikir harus diingati.

Aku tak tahu reason orang lain, tapi aku ada sebab tesendiri kenapa aku menulis diari dan tak pernah gagal menulisnya sejak usia aku 8 tahun lagi. Antara sebab2nya ialah:-

1- Masa aku berusia 8 tahun ayah belikan sebuah diari yang ada mangga berbentuk hati siap dengan kunci. Aku pula memang gemar membaca novel remaja keluaran buku Kenari dan kisah 5 Penyiasat terjemahan dari karya Anid Blyton. Maka pada waktu tu aku sangat faham fungsi diari berdasarkan kisah2 yang dibaca dalam novel. Itulah kali pertama aku memiliki diari sendiri.

2- Kerana aku terlalu banyak perkara yang ditempuhi sejak kecil dan bila aku menulis, aku akan menangis (sebab tu diari aku dulu2 tulisannya kembang2 sebab kena airmata) dan lepas aku tulis aku rasa aku dah berkongsi beban tu dengan seseorang. Rasa sangat lega.

3- Kerana bukan semua kisah kita boleh berkongsi dengan orang lain. Lebih2 lagi aku punya pengalaman dikhianati orang yang paling aku percaya. Jadi aku yakin, diari takkan mengkhianati aku.

4- Sebab aku pelupa. Diari membuatkan aku tahu apa yang aku rancang sebelum ni, apa tarikh yang penting dan apa yang telah berlaku beberapa hari / bulan/ tahun yang lalu.

5- Kerana aku memang suka menulis. Kalau korang tengok blog aku pun, korang akan tau betapa aku suka menulis. Kalau dulu masa penggunaan komputer belum dikomersialkan sepenuhnya, aku ada beberapa buku log yang besar mengandungi cerpen dari tulisan tangan aku sendiri. Bila dah dewasa, aku baca balik.... rasa lucu plak.

6- Aku selalu berharap satu hari nanti akan ada keturunan aku yang buka balik semua diari ini, membaca segalanya tentang aku, yang paling jujur, dan memahami betapa aku melalui hidup ini dengan seribu satu cerita dan rahsia. (Sayangnya sesetengah diari telah selamat dijilat api)

Tapi siapa kata diari tak pernah mengkhianati kita? Kalau kita cuai meletakkannya dan ia dibaca oleh orang yang tak sepatutnya membaca..... hmmmm....

Ok.... inilah diari aku tahun 2010. Dah 3 tahun pakai diari starbucks. Tahun depan masih lagi diari starbucks..


Aku berdoa... catatan 2010 hanya yang indah2, penuh dengan cerita kejayaan dan gembira kerana aku dah penat menulis dengan airmata.... Ya Allah... makbulkan doaku...

Sunday, November 15, 2009

Malang Tak Berbau...

Jumaat 13/11/2009. Masa on the way balik dari ofis ke Klang (rutin petang Jumaat, dari ofis biasanya terus balik rumah mak di Klang). Kebetulan ada seorang officemate memandu bersaing kereta dengan keretaku. Dia menoleh. Tersenyum. Memecut tinggalkan aku. Aku tekan pedal minyak, mengejar dia dari belakang. Lambat juga nak memotong. Almaklumlah kereta aku kereta tua. Dah le kembara, auto pulak tu. Memang tak layak untuk berlumba. Dapat je bersaing. aku menoleh sekilas, balas senyum mengejek. Tiba2........ nyaris2 kereta terbabas melanggar divider jalan. Kebetulan hujan renyai2, jalan licin dan banyak lopak air. Aku perlahankan kenderaan serta-merta. Seram betul. Muka dah pucat lesi. Kenapa tiba2 tayar boleh 'lost control'???

Sabtu 14/11/2009. Aku cakap ngan hubby dan ayah tentang kejadian petang semalam. Hubby belek tayar kereta aku. Dia panggil "Cuba tgk, tayar kereta awak dah botak licin dah. Benang pun dah nak terkeluar". Betul la..... aduhai... "Abis tu mcm mana?" "Macam mana apanya. Kena tukar tayar baru la. Bahaya sangat dah ni. Nasib baik tayar tak pecah semalam." Ayah tanya, "Ada duit nak tukar tayar?" Aku garu kepala. Biasanya kalau bab yang berkenaan duit ni memang aku selalu garu kepala. Aku mencongak2 duit dalam bank. Alahai... akhirnya dua tayar depan diganti jua. Tengah ayah sibuk mengisi air dalam karburator tiba2 dengar lagi suara ayah "Minyak enjin pun dah tinggal sikit ni, long. Jangan lupa beli minyak enjin. Tak pun hantar service ke.." Adoi... nak kena beli lagi minyak enjin. Walaupun kereta tua tapi aku cukup particular bab minyak enjin ni. Nak yang baik je, sebab aku selalu fikir kereta aku, mcm aku jugak. Cuba bagi aku biskut kering cap ping pong dengan biskut Famous Amos.... mana aku nak?

Ahad 15/11/2009. Balik dari pasar Tani dekat stadium Shah Alam jalan keluar terlalu sesak. Jalan sangkut. Tiba2 ada lori MBSA menghon sebiji kereta Honda lama yang menghalang jalan keluarnya. Aku perhatikan je kereta yang ditinggalkan di depan lori MBSA... tingkapnya terbuka. Ada seorang lelaki cuba membantu mengalihkan kereta tersebut dengan cuba menurunkan handbrake melalui tingkap yang terbuka. Kononnya nak ditolak kereta tu ke depan sikit. Tiba2 owner kereta datang. Mengangkat tangan kepada pegawai MBSA dan masuk ke dalam kereta untuk mengalihkan kereta.

Kereta aku masih mengesot2 seperti kereta2 lain juga. Kepanasan dan kesesakan membuatkan hati macam nak meradang. Tiba2..... gedegak!!! Terangkat kereta aku. Aliyah Umairah yang leka pun terlompat memeluk aku kerana ketakutan. Aku rasa macam nak nangis sebab aku tau yang bontot kereta aku telah disondol kereta lain. Aku menoleh ke belakang. Kereta Honda lama yang dihon MBSA tadi sedang mencium bontot kereta aku. Pemandunya tersengih macam kerang busuk sambil mengangkat tangan. Laju aku turun tengok bumper Kembara aku yang dah berlubang dan terkulai. Uwaaaaaaaaa......!!!!! Alasan pemandu Honda (yg sebaya dengan aku dan hubby bila hubby mintak nak tgk ic dia masa nak salin nama penuh dan no. ic) "Clutch saya sangkut la bang. Dah rosak. Sori ye" Ahh.... peduli apa aku. Semalam aku baru ganti tayar, tukar minyak hitam. Dalam sengkek2 aku ni... aku sanggup buat apa je demi kereta aku. Last2 ko sedap2 cium bontot kereta aku sampai terkulai!!! Aku tak peduli apa masalah ko.... ko betulkan hari ni jugak!!!!

Akhirnya kereta aku dihantar ke bengkel di Sri Muda, Shah Alam. Hubby cakap dengan owner workshop... berapa pun kosnya, suruh itu lelaki bayar. Panjang lebar gak perbualan hubby, owner workshop dan pemandu Honda. Pemandu Honda pun dah garu2 kepala aku tengok. Mesti pasal hal duit jugak la ni. Lantak la... aku tengah sedih tgk Kembara aku jadi camni. Aku nak ia direpair mcm mana pun. Last2 hubby cakap "Kembara awak besok baru boleh siap." "Habis saya nak pergi kerja mcm mana?" "Esok saya hantar awak pi kerja, petang saya ambik. Awak terpaksa stayback lama sikit kat ofis besok."

Begitulah kisahnya aku kehilangan kembaraku untuk hari ni dan esok. Terasa seperti patah sebelah kaki. Terpaksa la menumpang kereta hubby. Bila tengah2 termenung macam ni aku mula la berfikir.... malang memang tak berbau. Aku mungkin terselamat dari kejadian terbabas dan hampir menyondol divider pada petang Jumaat tapi tetap tak selamat dari disondol.

Thursday, November 12, 2009

Durian Galore~!

Meneruskan Tradisi syarikat, kenduri durian setiap 2 tahun sekali, tahun ni kami memilih 11/11/2009 untuk mengadakan 'Durian Galore'. Selori durian dihantar tepat pukul 3 petang, bos-bos turun untuk memastikan durian yang dihantar berkualiti D24 dan 'baru gugur' seperti yang dijanjikan. Hasilnya, Bos puas hati, pekerja seronok dan kekenyangan, hubungan pekerja dan majikan semakin erat. Itulah dia Jepun, saling menghormati, beradab dan amat menitik beratkan hubungan kekeluargaan serta majikan-pekerja. Haraplah budaya ini dapat dicontohi oleh rakyat kita. Jangan asyik nak bakar kerusi stadium, bakar sepanduk dan baling mercun bila pasukan bola kita kalah ye.

Dahsyat betul Jepun, pandai dia telek D24 ke bukan. Padahal negara dia nak jumpa pokok durian pun susah.

Dahsyat betul lelaki, sambil makan durian pun boleh hisap rokok.

Sebahagian dari pekerja wanita.
Merekalah kawan-kawanku, rakan sejawatku dan teman ketawaku.

nyum nyum...



Sunday, November 08, 2009

Pisau Cukur : Sejauh mana materialistiknya perempuan sekarang?

Aku menulis entry ni kerana Filem Pisau Cukur yang baru aku tgk pagi tadi. Sebuah cerita Melayu bergenre santai dan feminin (girlish film). Sedikit sinopsis dari cerita tersebut. Fazura (she is the reason I watched the film) memegang watak Intan merupakan sugar baby kepada seorang Datuk yang mempunyai isteri yang tak kurang hebat (cos she is Dr.). Isterinya koma ketika membuat pembedahan liposuction - kononnya bagi mencantikkan dirinya supaya suaminya meninggalkan pmpn simpanan tersebut.

Bella (lakonan Maya Karin) finalist yang direject si jutawan dlm rancangan "Siapa Mahu Kahwin Jutawan". Disebabkan kemurungan yang di alami, Intan mengajaknya bercuti di atas kapal mewah bersamanya kerana kebetulan saat akhir si sugar daddynya tak dapat ikut. Dan di atas kapal, Bella menggunakan segala kepakarannya menggoda seorang Jutawan Duda yang boleh tahan hensem (Eizlan Yusof). Walaupun diushar oleh seorang mamat yang lebih hensem dan muda, tapi kerana Eizlan seorang Dato', CEO terkenal dan berharta Bella memutuskan yang dia cuma mahukan Dato' tersebut sahaja.

Akhirnya Bella menyedari bahawa walaupun dia memasang impian dari kecik lagi untuk jadi wife jutawan, berlatih bercakap, berpakaian dan segala etika untuk menjadi perempuan yang bertaraf 5 star supaya mudah untuk dia mendapatkan lelaki jutawan tetapi apa yang lebih penting sebenarnya adalah rasa disayangi, dilindungi dan dipertahankan oleh lelaki yang disayangi walaupun dari keluarga lelaki itu sendiri. (Kerana dalam cerita ni kakak Eizlan tak sukakan Bella. Walaupun Eizlan tak bersetuju dengan kakaknya tetapi Eizlan sangat menghormati kakaknya itu memandangkan itulah satu2nya ahli keluarga yang tinggal).

Persoalannya: sejauh manakah wanita sekarang memandang harta melebihi segala2nya?
Dulu aku selalu cakap.... impian aku nak kahwin dengan orang kaya. Berkelulusan setaraf ataupun lebih dari aku. Berkulit putih, tinggi, kacak. Lepas kahwin aku akan minta suamiku belikan sebuah rumah yang ada swimming pool dan sebuah kereta sport Supra. Aku tak mahu kerja sebaliknya aku nak pergi shopping dan melancong sahaja. Tapi hakikatnya.... itu semua impian kosong sahaja. Bila aku jumpa hubby, segala kriteria tersebut tak dicek pun. Aku terima siapa pun dia sebagai jodoh dari Allah. Tapi aku pernah ada seorang kenalan yang selalu rasa aku gila memasang impian gila mengalahkan Erra Fazira walaupun aku tak secantik Erra Fazira. Sebenarnya aku cakap je. Kadang2 aku tak maksudkan benda yang aku cakap.

Tapi pernah tak kita melalui situasi ni:-

SITUASI 1

Tengah makan meja sebelah ada sorang lelaki asyik pandang kita... sesekali dia senyum kat kita...
Tengok muka dia tak hensem, kulit gelap, badan gempal plak tu.. kita jeling nyampah kat dia..
Dia pun frust... balik la... pastu pi jalan kat keta dia.. bila dia tekan suis kereta...
Pergghh.... Subaru Impreza.. Nyesalnya tak balas senyum dia...

SITUASI 2

Kawan kita nak kenalkan kita kat sorang pakwe. Pasal kita single lagi kan...
Sekali dia bawak kawan dia tak hensem, bukan taste kita la...
Kita pun reject la budak tu, siap marah member kita... "kalau nak kenalkan pun... biarlah yang rupa semegah"... sekali kawan kita cakap... "dia tu orang kaya tau. Ada syarikat sendiri... rumah dia 8 tingkat... keta 10 biji..." Terus kita tiba2 nampak lelaki tu boleh tahan juga la... Takat rupa pecah rumah tu... bleh touch up later... dun wori..

SITUASI 3
Kita excited nak kenalkan pakwe baru kat family. Siap la bawak gambar pakwe kita tgh posing sakan. Bila kita tunjuk kat family, berkerut2 family nengok muka dia (pasal tak hensem sgt). Soalan pertama yang family kita tanya "Kerja apa dia ni?"
Cuba kita jawab.... "dia kerja driver mak, abah"
Ha... driver??!!!! (muka mak ayah dah bengkek je...) "Driver lori? Drebar teksi?"
"Driver kapal terbang" (pilot la tu)
Oooo... cakap la pilot... (senyum sampai telinga)
p/s: ni kes mak bapak plak yang materialistik.

Kalau situasi ni amat biasa dengan anda... maknanya... memang duit sangat penting dalam hidup anda sehingga kadang2 anda sanggup tutup mata untuk perkara yang lebih penting asalkan.... anda boleh hidup bersama duit~!!!

Saturday, November 07, 2009

November 09 : The Scariest Month

Bulan November tiap2 tahun adalah bulan yang paling menakutkan pada aku. Sebabnya bulan ni ada hari jadi my beloved sister ngan hubby. Tapi rasanya November 2009 lebih menakutkan kerana pada bulan ni je, ada 4 orang (jiran, sedara, kenalan rapat) yang beranak. Bila dowang beranak, maknanya kita yang tak beranak akan kopak sebab kena hulur. Kalau sorang beranak takpe jugak. Bayangkan kalo sekali 4 das keluar, ha... budget kita jadi x4 gamaknya. Belum habis lagi senarai belanjawan November aku ni.

Ada plak kenduri2 kahwin dan majlis tunang. Majlis tunang kawan adik aku pun, aku kena pi. Pasalnya budak tu dah rapat ngan family aku. Ha... tuan2 dan puan2... adalah tidak menjadi kebiasaan ye kalau kita ke majlis orang takat bawak perut yang kosong - mencekik - balik. Koman2 kena gak hulur sampul, kalau tak hulur sampul pun harus bawak hadiah.

Lalu bulan ni aku kira kekerapan aku memegang kalkulator lebih dari bulan2 biasa. (walaupun sbnrnya aku terlampau la benci tgk nombor dan kira2 sampai kantoi paper add math masa spm). Kertas belanjawan bulanan aku pun sampai kena extend, soletape sambung page ke-2 pasal tak cukup tempat dan jumlah keseluruhan akhirnya melebihi plak pendapatan bulanan. Aik.. garu kepala kejap. Garu lagi.... garu lagi... tetap lebih budget...

Adik aku ni plak ade ke wish dia tahun ni nak sambut besday kat JW Marriot Putrajaya. Sabo je aku. Kalo dia meng"wish" tu ikut sesedap lobang idung dia je tanpa memikirkan kita yang nak terkencet2 merealisasikan impian dia. Takpe la... hubby dia kaya. Bleh ar menunaikan permintaan dia yang mengalahkan Mariah Carey tu. Mula2 tu memang dh nak ikut perancangan le kiranya, celebrate juga di Putrajaya, sudahnya dari kul 3 petang dia diserang migrain peringkat ke-3 sampai terlantar je atas sofa. Hmm... daulat la tu. Lenkali mintak yang bukan2 lagi.





Memandangkan dia dh terbaring mcm orang dalam pantang, aku pun keluar la ke Jusco Bukit Raja untuk membeli hadiahnya. (Sbnrnya nak belikan dia kasut Scholl tp rupanya hubby dia dh belikan Crocs plak). Mujurlah Christmas nak dekat, jadi memang banyak gift set. Takde la aku dok perah otak cari idea hadiah dia mcm perah santan tua. Akhirnya aku memilih hamper dari Famous Amos.

Dari Bukit Raja terus drive ke Concorde Hotel untuk dapatkan kek. Kenapa Concorde? Sebab dia kata Concorde ada kek cheese tersedap di dunia. Ha.... kowang jangan tatau, adik aku nampak aje pendek, tapi seleranya beso! Bila balik tgk dia masih berpantang lagi kat atas sofa. So aku kuarkan kek ngan present sambil ajak family ramai2 nyanyi lagu eppy besday kat dia. Ewah... terus bangun sengih2... dah sihat la tu~! Akhirnya terbatal gak hasrat dia nak celebrate Bday kat Putrajaya. Tapi tadi dengar gak dia rengek2 kat hubby dia besok nak pi Putrajaya gak. Lantak la ko... (kek yang kowang nampak tu ialah gabungan 3 jenis cheese kek. Chocolate Cheese, Pure Cheese, Vanilla Cheese)

Ok. Lepas satu seksa. Lepas ni ada satu lagi seksa.... besday hubby plak. Kalkulator... ooo kalkulator.... mana kau... adui... rasa mcm nak migrain plak.

Owh.... sebelum terlupa... aku terpaksa masukkan budget starbucks dalam belanjawan November juga sebab aku dah tergila-gila dan kemaruk nak dapatkan diari 2010. (Masa tahun 2008 dan 2009 pun tergila2 mcm ni jugak - kemaruk kumpul cop starbucks nak dapatkan diari) Perlu 11 cop untuk dapatkan 1 diari. 11 cop bermakna 11 kali minum. Kat sini kowang dah nampak aku dah minum 5 kali. Bermakna mungkin dah dekat segelen air Toffee Nut Frappucino dalam perut aku skang ni. Jadi, camno makcik nak kurus? Cuba cite sket.













Latest Update: Ahad akhirnya ke Alamanda juga. Kemudian makan 1 family di Taman Warisan. Anak angkat emak yang baru (Azim) pun ikut juga. hahaha... Balik dari Taman Warisan singgah pulak di Quality Hotel, karaoke sampai suara jadi serak. Part paling kelakar masa ayah nyanyi lagu "Madu Tiga". Semua bantai gelak~!

Friday, November 06, 2009

Siasatan Dalaman (Domestic Inquiry)

"Pernah dengar la, tapi lupa la apa menatangnya ni." Siasatan Dalaman atau lebih dikenali sebagai D.I. adalah satu proses (biasanya will be the last resort) untuk menentukan samaada seseorang pekerja tu benar2 bersalah melanggar peraturan syarikat (major misconduct) dan implikasi dari D.I biasanya melibatkan hukuman yang berat seperti penurunan gaji, penurunan pangkat atau dibuang kerja.

Nota Perut: Tak, aku bukan nak cerita pasal D.I yang sedang dibuat oleh jabatan audit negara ke, tidak... bukan pasal politik~!

Dulu masa kerja dengan sebuah syarikat yang berada di papan utama Bursa Saham Malaysia (Public Listed Company), boleh dikatakan 2 bulan sekali buat D.I. Entah apa le fevret sangat dowang buat D.I. tah. Tapi berpadanan la, dengan pekerja lebih kurang 1000 orang, tentu macam2 kerenahnya. Dulu biasanya aku akan duduk di kerusi pemerhati. Pernah juga duduk sebagai juri kalau ia melibatkan kes-kes dari anak syarikat yang lain. Tapi sebenarnya bukanlah best sangat pun jadi juri. Kalau jadi juri Malaysian Idol ke, Akademi Fantasia ke memanglah besh, pasal kita leh cakap "suara ko ke laut" "feeling ko tu tak sampai kat aku". Tapi kalau peminat nak undi, menang gak dia.

Tapi jadi juri dalam D.I. melibatkan periuk nasi seseorang. Hitam keputusan kita, tertutuplah periuk nasi dia. Lagi plak kalau pekerja yang kena D.I. tu datang dari keluarga susah, anak ramai. Kalau ikut perikemanusian, memang tak sampai hati tapi tu la.... kenapa la dowang pi langgar peraturan syarikat, yang besar2 lak tu. Aduii... Dulu rasa terseksa betul kalau dapat jemputan menjadi juri dalam satu2 D.I. Kadang2 malam nak tidur pun tak lena. Tapi kami dibayar gaji oleh syarikat untuk kerja2 mcm ni la. Tak ada mana2 syarikat yang nak simpan pekerja bermasalah. Tul tak?

Semenjak join kompeni skang ni, memang tak pernah buat D.I. Almaklumlah, bilangan pekerja kat sini bukannya la ramai sangat. 20% je dari kompeni lama. Tapi 2 minggu lepas setelah aku menyerahkan borang penggantungan kerja kpd seorang pekerja yang dah berkhidmat belasan tahun, aku tahu kali ni aku akan berhadapan dengan D.I. sekali lagi. Masalahnya kali ni, aku bukan lagi pemerhati, bukan juga juri, sebaliknya aku yang mendakwa dia. Jahatnya aku. Atas dakwaan "dengan sengaja merosakkan harta benda syarikat". Segala bukti telah dilambakkan depan mata. Pergh..... dan dengan sukacitanya aku perlu mengheret pakcik tersebut ke muka D.I. bagi memastikan beliau dikenakan tindakan (tentunya yang melibatkan periuk nasi dia).... dan inilah puncanya aku rasa tak sedap hati sejak 2-3 hari ni.

Buat pertama kalinya juga, aku terpaksa berlawan bukan dengan tertuduh sahaja sebaliknya dengan kepala2 Union yang telah set dalam kepala otak diorang, "This is our first case and no matter what we MUST WIN." Dah macam court betul2 plak, ada appoint lawyer plak tertuduhnya. Bercanggah dengan hasrat kompeni aku, "With all these evidences, You have to make sure that Management will win." Isnin, 9 November akan menentukan segalanya. Moga skill berbahas masih ada lagi terendam dalam sanubari aku.
Kalau aku menang, tentu rasa guilty sangat dengan pakcik tu. Aku doakan pakcik tu akan bukak bisnes dan jadi kaya raya lepas ni. InsyaAllah.


Wednesday, November 04, 2009

Entry tercetus kerana cemburu

Sebenarnya tak ada benda yang penting pun untuk diupdate. Cuma kerana terlalu cemburu tengok kawan2 yang ada2 je idea nak posting entry baru. Ntah mana dowang ni kutip idea agaknya. Kalau idea tu boleh dibeli, memang aku beli idea tu. Nak lawan blog dowang punya pasal.

Terlanjur dah bercerita teringin nak bercerita tentang bos baru kat ofis ni. Buat pertama kalinya kompeni aku membawa masuk seorang bos Jepun yang muda dan muka stok ala2 model. Kalau sekali imbas, sebiji macam muka hero Jepun, Takeshi Kaneshiro. Tapi aku lum la sampai nak ambik gambar dia. Kang nampak sangat la aku dah jatuh syok kat dia. Tapi motif sbnr aku bercerita bukanlah kerana nak mengetengahkan kehenseman dia yang aku tau kaum2 Adam lain tak berapa suka nak dengar, tapi aku ingin becerita penangan (influence) yang tercetus dek kerana kehenseman dia.

Kat ofis aku ni memang la rata2nya perempuan, berkahwin dan bergelar ibu. Kalau ada yang belum kawen pun cuma sorang je la. Aku wanita termuda dalam ofis ni pun dah kawen. Tp semenjak adanya hero hensem kat ofis masing2 seperti lupa status plak. Masing2 dah start berangan nak kuruskan badan. Mereka yang sebelum ni muka pucat macam mayat pun dah pandai tepek bedak nyonya, blusher, gincu dan etc. Yang dulu pantang demam batuk sikit dah MC, la ni... dah sampai tahap batuk kokol pun datang kerja gak. Takut sehari tak datang, kang bos jepun beralih perhatian kt org lain.

Pantang ada waktu senggang atau waktu rehat, memang topik berbual pasal hero hensem tu. Kalau hero hensem tu keluar dari bilik melintasi kitorg nak ke toilet, kepala masing2 tinggi je... lepas dari partition tu dok telek hero sampai hilang dari pandangan. Kalau idak kepala masing2 mcam kepala kura2 dalam cengkerang. Tak nampak kepala pun... semuanya separas partition je. Agaknya hero hensem tu tau tak yang ofis tu dah dilanda Takeshi Mania. Apa la rasanya jadi perhatian gitu. Kalau aku la... mesti dah jalan kengkang2... kaki bersepah. Debar2 punya pasal.

Bila cerita pasal hal ni, teringat entry saudara iDAN. Katanya pmpn skang pun boleh tahan, lagi plak yang pendapatannya dan jawatannya agak besar. Selera pun besar. Hahahahah... betullah tu agaknya sdr iDAN, tengok aje fenomena kat ofis sy skang ni. Rupanya besar impaknya kehadiran jejaka hensem. Mungkinkah perkara ni terjadi disebabkan wanita skang dah bosan melihat suami dengan perut boroi, berkain pelekat dan duduk hisap rokok depan tv? Atau wanita skang sudah bosan dengan suami yang kering hati, balik rumah, mencekik, baca paper, tengok tv, tido? Atau sememangnya wanita skang makin gatal? hehehehehe.... ntah la.... tepuk dada tanya selera...