Friday, July 31, 2009

Cerpen: Ayah

Dah lama tak menulis cerpen. Sengaja mengasah semula daya kreativiti menulis cerpen yang kurasakan semakin menghilang. Lalu terhasillah nukilan ini. Aku cuba lari dari tema cinta sebab tak mahu nampak stereotype. "Diana ni balik-balik cinta". Cuba memberikan jiwa dan mengusik jiwa mereka-mereka dengan garapan cerpen bertemakan kekeluargaan. Maka terhasillah ini... silalah komen, moga dapat aku betulkan segala kekurangan...

Jannah panggil Walid, Afifah panggil Abah, Shika panggil Daddy, Ewa panggil Bapak dan aku panggil dia Ayah.. kenapa Ayah? Sebab sejak aku mula pandai bercakap, dua nama itu adalah sebutan pertama yang lahir dari peti suaraku… “Mak.. Ayah..”


Mak kata masa tu umur aku baru masuk setahun. Mata bulat, rambut pendek lurus, ayah yang potong. Aku tanya mak, “Siapa yang tampal nama along besar-besar kat dinding?” “Ayahlah.. dia yang buat semua,” jawab mak. Aku senyum. Belek sekeping gambar lama yang warnanya hampir pudar. Di dinding dalam gambar tu jelas tertulis nama aku dengan potongan kertas kilat kecil-kecil berserta ucapan hari jadi untuk aku. Ayah berdiri tepi dinding sambil dukung aku. Ahh… aku baru setahun, tak berdaya mahu mengingati detik itu tapi dalam gambar ini amat jelas kasih ayah pada aku. Tentu manis waktu itu.


Sekeping lagi gambar kubelek. Gambar aku di atas kuda kayu hitam. Bulat mata aku merenung orang yang mengambil gambar. Tentulah ayah orangnya. Mak kata ayah suka sangat ambil gambar aku. Kebetulan aku memang suka bergambar. Jelas hitam pekat anak mata aku. Ketika ini aku baru 3 tahun. Bila ku tenung gambar itu lama-lama, fikiran aku jauh melayang. Susahkah ayah dan emak menjaga aku waktu itu? Adakah aku sangat nakal hingga membebankan kedua-dua orang yang aku sayangi. Hmm… aku kembali merenung gambar. Memang aku persis ayah. Ayah amat sayangkan aku rupanya. Aku janji aku akan menyayangi ayah sampai bila-bila. Itulah kali pertama aku berjanji begitu.


Aku menyelak helaian seterusnya. Tak silap aku gambar itu diambil ketika aku darjah 3, bermakna 9 tahun. Mak cakap waktu itulah aku paling nakal. Tak mahu dengar kata. Suka duduk dalam bilik air lama-lama. Mak kata aku suka masuk dalam kolah air buat macam swimming pool. Penyudahnya ayah akan perambat aku dengan penyangkut baju, taling pinggang, getah paip dan sebagainya. Aku akan lari keliling meja, ayah akan kejar. Walaupun aku lari macam lipas kudung, tak pernah ayah tak dapat kejar. Berbirat aku dipukul dan disesah. Menangis-nangis aku minta ampun, tapi besok buat lagi. Tak pernah serik. Ayah pun tak pernah penat memukul aku.


Seketika ayah umpama musuh yang digeruni. Aku pula umpama anak yang suka menyakiti pada ayah. Aku merasakan ayah sudah membenci aku. Ayah sudah ada adik yang baik baru yang comel, manja dan mendengar kata. Aku berjauh hati. Lalu pada suatu hari ayah memeluk aku penuh kasih dan sayang. Ayah menangis. Ayah cakap “Tak salah seorang ayah meminta maaf pada anaknya. Maafkan ayah.” Ayah cium aku bertalu-talu. Airmatanya mengalir. Ayah belikan komputer kecil khas untuk belajar. Semenjak itu ayah yang dulu amat menyayangi aku sudah kembali dan aku tidak nakal lagi. Airmata aku mengalir laju. Aku seka dengan hujung lengan. Lantas aku simpan album itu di tempat asalnya. Tempat yang sudah lama diabaikan.


Aku menguis-nguis hujung jari kaki yang mula terasa kebas. Seketika kedengaran rauman Toyota Rush kepunyaanku masuk ke perkarangan rumah. Aku menjeling saat tubuh itu melepasi pintu masuk. Pura-pura sibuk membetulkan pasu bunga di atas meja utama. Tubuh tadi mendekati aku, memeluk pinggang aku dari belakang. Aku mengeluh, “Ni mesti ada apa-apa ni. Cakap je la,” getusku. Rashika sengih lebar. “Mama ni tahu-tahu je. Ma… malam ni pinjam kereta lagi boleh?” Rashika bersuara memujuk.

“Nak ke mana?”

“Keluar sekejap je ma, minum dengan Lily, dengan kawan-kawan lain”

“Cepat balik. Kalau tak, this is the last.”

“Ok. Promise!” Rashika mengangkat kelima-lima jarinya.


Jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Rashika masih belum pulang. Aku jenuh mundar-mandir penuh risau. Penat berdiri aku menghempaskan punggung ke sofa. Hati mula mendidih dengan perangai Rashika. Agaknya beginilah perasaan ayah apabila menunggu aku pulang. Aku masih ingat malam itu sebaik sahaja kaki aku menjejak pintu rumah, satu tamparan hinggap di pipiku. Semuanya gara-gara ayah menyangka aku keluar dengan lelaki Bangladesh yang bekerja bersebelahan kedai tempat aku bekerja sementara. Tapi hakikatnya aku keluar bersama kawan-kawan perempuan dan kemudian telah melanggar tembok menyebabkan kereta Waja yang baru keluar dari kilang minggu lepas tercalar teruk. Kemudian kelam kabut mencari bengkel yang boleh membaiki calar tersebut malam-malam buta. Mana nak jumpa. Memang patut penampar tu singgah di pipiku malam tu. Walaupun jelas wajah bersalah di muka ayah akibat lempangan yang membabi buta itu namun aku tahu dia lega kerana anaknya ternyata tidak keluar dengan Bangla seperti yang disangka. Biarlah keretanya kemek sekalipun asalkan aku tak keluar dengan lelaki yang tak senonoh.


Saat Shika membuka pintu rumah aku sudah siap bercekak pinggang. Ternyata Shika sudah menjangka reaksi aku lantas dia cepat-cepat meminta maaf. Terleka kerana asyik bersembang dengan kawan-kawan lama alasannya.

“Mama tak suka macam ni Shika. Shika buat salah, Shika minta maaf. Besok buat lagi. Sampai bila? This is not right!”

“Mama, sorry la ma…”

“Mama tak peduli. Nanti daddy balik, mama cakap dengan daddy.”

Shika ternyata geram dengan kata-kataku. Dia mencampakkan kunci kereta ke atas meja bulat lantas memanjat tangga sambil menghentak-hentakkan kaki dengan kuat sebagai tanda protes. Kemudian kedengaran pintu bilik dihempas kuat. Aku mengurut dahi dengan tangan. Teringat kata-kata ayah kepadaku dulu. “Bukan mudah membesarkan anak perempuan. Nanti Along dah besar, dah kahwin, dah ada anak, along tau la kenapa ayah selalu marah.” Dulu aku tak mengerti tapi kini ternyata aku amat paham. Aku menarik nafas berat. Entah bila aku terlelap di atas sofa aku pun tak pasti.


Esoknya aku menyiapkan sarapan nasi lemak. Tak lupa membungkuskan nasi lemak dan sambal sotong kegemaran Shika ke dalam Tupperware. Shika akan balik ke asramanya pagi ni jadi bekalan ini mungkin boleh dibuat makanan tengahari untuk Shika dan teman sebiliknya. Saat Shika menuruni tangga dengan beg besarnya, aku telah siap sedia menceduk nasi ke dalam pinggan.

“Makan dulu, lepas makan mama hantar balik asrama,” arahku.

Shika akur. Menarik kerusi di sebelahku lalu duduk.

“Ma… minggu ni Shika nak duit belanja lebih sikit boleh? Shika ada nak beli buku.”

“Berapa?”

“RM300.”

Aku menarik nafas dalam. “Nanti mama kasi.”

Shika senyum manis. “Thanks Ma..”

Aku angguk. “Ma… Sorry for last night.” Aku menjelingnya sekilas lalu mengangguk lagi. “Kali ni je mama maafkan.” Shika memelukku.


Ketika memandu sendirian dalam perjalanan balik selepas menghantar Shika aku kembali melamun. Teringat ketika zaman kampus dulu. Memandangkan tempat kerja ayah dan IPTA aku berhampiran aku kerap menghubunginya agar menghantar duit kepadaku. Tak kira waktu. Tak pernah terfikir mana ayah nak cari duit. Adakalanya aku sanggup ke tempat kerjanya semata-mata untuk mengambil duit. Kadang-kadang menjajau dia meminjam duit bila kedatangan aku tak dijangka. Aku terlalu naïf ketika itu. Tak tahu betapa besarnya nilai RM100 kepada pegawai biasa seperti ayah. Aku meminta tak kira waktu dan terlalu kerap. Kejamnya aku. Tapi tak pernah sekali pun ayah menghampakan permintaan aku. Walau terpaksa meminjam. Walau terpaksa mengikat perut gara-gara duit makannya tepaksa diberi kepada anak. Bila aku telah bekerja aku mula tahu perit jerih mendapatkan duit. Aku baru tahu betapa besarnya pengorbanan seorang ayah kepadaku ketika dulu. Lalu aku berjanji akan menjaga ayah dan membela nasib ayah selama-lamanya. Janjiku buat kali ke-2.


Aku melencongkan kereta ke satu simpang yang kerap kulalui. Memarkir kereta di bawah pokok kira-kira 100 meter dari kawasan rumah Ayah. Aku mencari-cari kelibat ayah yang biasanya duduk berehat di atas pangkin di halaman rumah. Namun hari ni pencarianku hampa. Aku mencapai telefon bimbit dan mendail.

“Hello Along,” kedengaran satu suara dari sebelah sana.

“Adik, semalam along dah bank-in duit belanja bulan ni ya.”

“Susah-susah along je. Kan adik cakap, duit yang bulan-bulan lepas pun ada lagi. Tak payah bank-in lagi long.”

“Takpe, nanti kamu kumpul duit tu buat kegunaan Ayah. Pergi Haji ke, umrah ke.”

Kedengaran suara di sebelah sana mula sebak.

“Along tak rindu ayah? Ayah selalu tanya along. Along baliklah,” adikku bersuara memujuk.

“Adik, along dah bagitahu banyak kali, jangan paksa along. Along perlukan masa.”

“Masa apa long? Sakinah dah lama meninggal long. Apalah sangat dosa ayah pada along?”

Aku memutuskan talian telefon. Airmata terasa hangat mengalir laju.

Aku memandang perkarangan rumah ayah sayu. Disinilah seribu satu kisah manis kami sekeluarga. Laman itu yang menyaksikan ayah berbaju melayu segak. Senyum lebar berjabat tangan dengan semua tetamu semasa hari perkahwinanku. Dialah yang paling bahagia sekali. Ayah peluk Nizam Harith, menepuk-nepuk belakang suamiku sambil berkata, “Ayah amanahkan dia untuk kamu. Jagalah dia dan sayangilah dia lebih baik dari 25 tahun ayah menyayanginya dan menjaganya.” Aku menangis semahu-mahunya mengenangkan kembali detik-detik itu. Tiba-tiba tingkap rumah terkuak. Aku nampak ayah di birai tingkap sedang merenung jauh. Jelas wajah tua itu penuh sayu seolah-olah menunggu sesuatu. Adakah ayah menunggu aku?


Aku baru usai solat Isyak ketika Nizam Harith pulang. “Seronok bercuti ke Jakarta, bang?” aku menegur sekadar berbasa-basi. Aku mula menghidangkan makan malam. “Ini soalan perli ke?” keras suara Nizam bertanya. Aku mengerutkan dahi

“Saya tanya ikhlas. Abang tu yang fikir bukan-bukan. Baru pulang bercuti dengan isteri baru pun masih ‘moody’ ke?” aku menyindir.

“Awak jangan nak menyakitkan hati saya. Kalau awak tak suka saya ada kat rumah ni, saya boleh tak payah balik langsung.”

“Boleh abang lupakan kami terus kan? Abang lupa janji yang abang buat pada ayah saya?” aku hampir menangis.

Nizam senyum mengejek. “Ayah awak? Bukankah ayah awak lebih teruk dari saya?”

Aku mula meradang, “Jangan hina ayah saya. Ayah saya tak sekeji abang. Kahwin kerana nafsu. Tak pernah puas. Abang memang tak tahu diuntung. Abang lupa kesenangan abang hari ni hasil dari golok gadai ayah? Kalau tak kerana ayah, abang ingat abang ada duit nak buka perniagaan kita ni?”

Nizam ketawa besar mendengar kata-kataku. Panas telinga aku mendengarnya. “Kalau betul ayah awak baik sangat, kenapa awak buang dia sampai sekarang? Kenapa? Awak tu yang tak tahu diuntung!” Itulah kata-kata terakhir dari Nizam sebelum dia keluar meninggalkan aku tergamam keseorangan.


“Kenapa ayah gatal sangat nak kahwin lagi? Perempuan muda pulak tu. Pangkat anak! Ayah tu dah tua. Kaki pun gout, selalu sakit-sakit ada hati nak berbini muda,” aku menempelak. Geram betul bila mendengar berita ayah nak bernikah lagi. Emak baru setahun meninggal dunia ayah dah nak berbini lagi. “Along, kan ayah cakap. Budak tu dianiaya. Ayah jumpa dia pun sebab dia nak bunuh diri kat landasan keretapi tu. Kalau ayah tak tolong dia, macam mana dia nak hidup dengan perut yang semakin membesar. Lagipun keluarga dia dah buang dia. Kemana dia nak pergi?”, ayah membalas.

Ada hati nak membela nasib orang. Nasib ayah pun tak pasti lagi. Along malu tau ayah dengan orang kampung. Apa mereka cakap nanti. Ayah along menggatal nak berbini.”

“Biarlah orang nak kata apa pun long, ayah tak kisah, janji along percayakan ayah. Lagipun kalau dia ada, dia boleh jaga makan pakai ayah.”

“Habis tu along dengan adik selama ni tak jaga makan pakai ayah ke?”

“Bukan macam tu, along kena paham…”

“Along je yang kena paham ayah. Ayah tak pernah paham along!”

Ayah terdiam. Airmata mula bergenang di kelopak matanya. Dia tunduk memandang lantai. “Sakinah ni pun satu, gatal! Dengan ayah pun kau setuju nak kahwin. Entah-entah ada muslihat. Kau nak rampas harta bapak aku ye? Menggatal dengan lelaki lain, bapak aku pula kena jadi pak sanggup.”

Sakinah hanya menangis teresak-esak bersebelahan adik. Adik tak banyak cakap. Apa yang baik untuk ayah, dia ikut aje. Itu yang buat aku geram dengan dia. Tak tegas!


Perkahwinan ayah berlangsung juga walaupun tanpa persetujuan aku. Hanya upacara pernikahan di masjid sahaja dengan ahli keluarga terdekat tanpa aku. Aku bersumpah dengan ayah bahawa aku tak akan menjejakkan kaki ke rumah ayah lagi andainya ayah tetap dengan pendiriannya menikahi Sakinah. Walaupun beberapa bulan kemudian Sakinah meninggal ketika melahirkan anaknya, aku tetap tidak berhubung dengan ayah. Tak tahulah kenapa. Aku sebenarnya sudah tidak marah dengan ayah. Aku sudah lama maafkan ayah tapi mungkin kerana ego aku yang tinggi dan aku pernah bersumpah tidak akan menjejakkan kaki ke rumah ayah lagi maka ayah kutinggalkan hampir 3 tahun. Namun tatkala rindu pada ayah, aku pulang juga ke rumah, memarkir kereta di bawah pokok tempat biasa dan melihat ayah dari jauh. Biasanya ayah akan setia dia atas pangkin tiap-tiap petang, termenung seperti menunggu seseorang. Kadang-kadang aku merasakan seolah-olah ayah merasai kehadiran aku kerana dia akan tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepala. Sungguh aku rindukan kasih ayah. Bila Nizam menikahi wanita lain yang lebih muda dari aku ia umpama sumpahan kepadaku kerana menuduh ayah yang bukan-bukan. Sebenarnya aku malu pada ayah.


Aku tak dapat melelapkan mata walau sepicing pun. Kata-kata terakhir Nizam Harith seperti berulang-ulang di telingaku. Seperti mengejek-ejek aku. Aku dirundung sayu yang amat sangat. Kenapa hati aku begitu keras untuk mengaku yang aku memang harus pulang dan memohon ampun pada ayah? Aku lupa janji yang aku buat pada diri aku sendiri dan pada Ayah. Aku berjanji aku akan menjaga ayah dan membela nasib ayah selama-lamanya. Kenapa aku melanggar janji aku? Ya Allah, bantulah aku. Malam tu aku bangun untuk menunaikan solat istikharah. Kepada Allah aku memohon moga ditenangkan hati dan dilorongkan aku jalan yang seharusnya aku ambil. Penuh khusyuk dan tawadduk. Aku menangis sungguh-sungguh di hujung doa. Akhirnya aku seperti nekad dengan keputusanku. Biarlah esok menentukan segalanya.


Aku memarkir kereta di tempat biasa. Dari dalam kereta aku tak nampak kelibat ayah di pangkin seperti biasa. Aku mengerling jam di tangan. Aku turun dari kereta. Perlahan-lahan berjalan menghampiri rumah ayah. Tiba-tiba kedengaran selak pintu dibuka. Pantas aku menyembunyikan diri di tepi batang pokok berhampiran pangkin. Aku lihat ayah terketar-ketar menuruni tangga dengan tongkatnya. Kakinya kelihatan bengkak. Mungkin gout ayah bertambah teruk. Perlahan-lahan dia berjalan menuju ke pangkin. Aku berundur sedikit ke belakang, masih menyembunyikan diri di belakang pokok. “Syohh.. syohh…” kedengaran suara ayah menghalau anjing yang melintas depan jalanraya bertentang dengan rumah. Tangannya menunjal-nunjal tongkat mengagah anjing bertompok hitam putih itu. Tiba-tiba tongkatnya terlepas dari tangan. Aku lihat dia terketar membongkok cuba mengambil tongkat yang terjatuh di atas tanah. Terdengar dia mengaduh kesakitan. Aku keluar dari belakang pokok, mencapai tongkat ayah lalu menyerahkan ke tangannya. Ayah nyata terkejut. “Along? Along datang? Along datang tengok ayah?” ayah menyoal cuba meyakinkan dirinya barangkali. Aku angguk. Aku peluk ayah. Aku menangis teresak-esak.

“Ampunkan along, ayah. Along berdosa dengan ayah. Along janji, along akan jaga ayah sampai bila-bila mulai hari ni. Along janji.”

“Along tak ada salah dengan ayah. Ayah yang bersalah. Ayah sakitkan hati Along. Tak salah seorang ayah minta maaf dengan anaknya. Maafkan ayah, along,” kata ayah yang turut mengalirkan airmata. Aku jadi sebak. Ayat ni pernah dituturkan kepadaku ketika usiaku 9 tahun. Aku bertambah sayu. Aku menggelengkan kepala menandakan ayah tak perlu meminta maaf kepadaku. Lantas aku cium dahi yang berkedut dimamah usia tu. Ya Allah, moga masih belum terlambat untuk aku menunaikan janji.



1 comment:

LanunPerak said...

aku mmg susah.. nak membaca.. memang malas.. tp kalau bini aku sesekali menulis.. kalau aku baca.. tak pernah.. membosan kan.. sayang.. penulisan awak tak pernah.. kurang.. tetap mantokkkk~!... give u 5 star..