Wednesday, February 11, 2009

Valentine Day - Melayu jangan pesimis!

14 Februari 2009 bakal menjelma. Semakin dekat tarikh ni semakin banyak pula manusia berdebat tentang tarikh ini. Ada yang berbicara tentangnya di majalah, di radio, di warung kopi malah di pejabat aku sendiri orang mula berbicara tentangnya. Berbagai persepsi – positif dan juga negatif. Aku hanya tersenyum sendiri tiap kali terdengar suara-suara lantang mereka yang cuba memulaukan tarikh yang dikenali sebagai Valentine Day ini. Sinis! Rata-ratanya suara lelaki-lelaki Melayu dungu yang konon memperjuangkan kebenaran agama. Hah.. mesti ramai yang dah sentap dengar kenyataan aku ni. Don’t stop reading this sebab lelaki melayu biasanya melompat dulu, mengamuk dulu baru nak paham habis. Aku harap lelaki melayu yang membaca artikel ni tidak tergolong dalam golongan lelaki itu.

“Valentine Day Haram!!!” Wah… semudah tu meletakkan fatwa seperti semudah mengunyah keropok lekor Terengganu yang lembut. “Valentine Day adalah hari memperingati paderi Valentine.” Ahh… sudah banyak aku membaca tentang paderi Valentine ni. Terlalu banyak jalan cerita dan terlalu banyak sumber. Tidak tahu yang mana tepat tetapi yang nyatanya Valentine memang seorang paderi. Wahai bangsa melayuku, adakah setiap kali anda menyambut Valentine Day anda membayangkan paderi kristian itu? Atau anda memperingati Valentine Day sebagai Hari Kasih Sayang atau Hari Memperingati Kekasih? Pada aku, Valentine hanya satu nama bagi satu hari untuk kita menunjukkan kasih dan 14 Februari adalah tarikhnya dan tidak pernah walau sekalipun aku meraikannya dengan mengingati paderi Valentine itu. Jadi kenapa aku dijatuhi hukuman haram??


Melayuku sayang. Jadilah bangsa yang cendekiawan dan bijak pandai. Jangan jadi melayu yang mudah melatah apabila diusik sedikit tentang agama walhal ianya bukanlah satu isu. Jangan jadi melayu yang primitif dan ortodoks. Kenapa 14 Februari haram tapi Teacher’s Day, Father’s Day, Mother’s Day tidak? Bukankah tarikh-tarikh itu turut disambut seluruh dunia. Bukankah ketiga-tiga tarikh itu ditetapkan oleh manusia berkulit putih? Kenapa tak diselongkar asal usul tarikh-tarikh tersebut. Barangkali hari ibu yang kita sambut tu sempena memperingati paderi wanita pula. Jadi haramlah ya? Hahaha… tepuk dada tanya selera. Jangan tepuk meja bersuara lantang, asasnya cetek! Pada aku, tarikh-tarikh itu adalah tarikh aku memperingati seseorang. Memperingati Ibu yang melahirkan, memperingati ayah yang membesarkan, memperingati cikgu yang yang menurunkan ilmu tanpa jemu dan memperingati si dia yang sanggup menempuh susah dan senang bersama. Si pesimis bertanya lagi, “Kenapa ada hari-hari tertentu untuk memperingati mereka? Hari-hari lain tidak ingatkah?” Mustahil tak ingat. Cuma pada hari itu kita membelikan mereka sesuatu, meraikannya dengan kek atau bunga atau sebagainya dan adakalalanya membawa mereka bercuti. “Kenapa memilih tarikh itu?” Sebab seluruh dunia menyambutnya pada hari itu dan kalau disambut setiap hari atau kerap kali barangkali tauke balak pun boleh jual lori dan barangkali hilanglah keistimewaannya. Kalau semua ibu, bapa, guru dan kekasih diraikan pada hari tersebut bagaimana perasaan kepunyaan kita itu apabila kita tidak meraikannya. Kalau tak banyak tentu ada sedikit rasa terkilan kan?

Aku tidak pernah membayangkan paderi Valentine semasa 14 Februari dan aku tidak mengingatinya langsung ketika meraikan hari itu. Aku mengingatinya sebagai hari aku menunjukkan tanda terima kasih kepada dia yang sudi menyayangi aku. Aku meraikannya dengan makan di tempat istimewa bersama, bertukar hadiah atau menulis ucapan di atas kad. Klasik dan bermakna. Kepada mereka yang lantang mengatakan Valentine haram, aku ingin bertanya lagi. Mana lebih haram? Cara aku menyambut Valentine atau apabila kau dengan sengaja meninggalkan satu waktu solat atau dengan sengaja tidak menutup aurat? Ha… bak kata Nabil. Lu pikirlah sendiri.

Jadi kesimpulannya dari pemerhatianku. Rata-rata suara lantang dan pesimis ini ialah lelaki dan ini terjadi kerana lelaki melayu pesimis ini takut poketnya rabak ketika 14 Februari – almaklumlah bunga lebih mahal dari biasa. Sebenarnya abang-abang, kalau bukan Valentine Day pun aku yakin susah benar untuk kalian memberikan bunga ataupun kejutan kepada si kekasih yang bersusah payah menyayangi kamu yang barangkali sengkek dan kedekut seperti Hagemaru. Kalau lepas membaca ulasan aku masih besar batu kerikil di atas kepala kamu, jadi cukuplah kalau kalian memilih satu tarikh lain untuk memperingati kekasih / isterimu. Mereka juga punya hati, berhak disayangi dan tahu makna terkilan. Wassalam.



No comments: