Monday, February 23, 2009

Selamat Pengantin Baru, Isteriku....

Bertalu-talu paluan kompang memecah sunyi. Debar jantung aku seiring dengan paluan kompang. Seribu satu rasa. Rasa takut, debar, cemas, cuak semuanya bercampur gaul, libang libu dalam hati. Ketika dinikahkan sebentar tadi, begini juga penangannya. Aduh.. sesak nafas. Umpama kali pertama.

Syed Shukri bin Syed Syaiful, anak saudagar kain terkenal yang mempunyai puluhan butik kain di serata Malaysia itu telah selamat menikahi aku pagi tadi. Kini aku bergelar isteri kepada salah seorang jutawan muda Malaysia. Isteri pada mata kasar umum. Pastinya perkahwinan gilang gemilang ini bukan sahaja sejarah bagi keluargaku dan keluarganya tetapi juga sejarah bagi perkahwinan elit di Malaysia kerana aku, Adrianna Dato’ Adrian merupakan pewaris tunggal rangkaian Hotel Heritage.

Aku menuruni anak tangga satu persatu. Rumah agam ini kami duduki setelah diijabkabulkan. Banglo yang lengkap dengan perabot dan segala kemudahan ini merupakan salah satu hantaran yang tidak diletakkan di atas dulang untukku. Mata aku meliar mencari kelibat Shukri. “Cantik-cantik nak kemana ni, sayang?” tegur Shukri dari belakang. Aku tersentak. Shukri sedang berdiri sambil mengendong beg golf. “Ary ingat nak pergi saloon kejap la, bang.” Shukri angguk. “Abang nak keluar main golf. By the way, don’t forget that we’ll have dinner function today. No excuse ok, they organize it purposely to celebrate us.” Aku senyum dan angguk. Cepat-cepat menaiki kereta dan memandunya menuju ke destinasi.

Aku masuk ke dalam rumah teres dua tingkat itu. Atas meja kopi aku lihat terdampar beberapa majalah yang memuatkan cerita perkahwinan gilang gemilang aku dan Shukri. Aku mengeluh perlahan. Aku lihat Hamidi sedang tekun melukis sesuatu di atas kanvas putihnya. Aku menghulur tangan minta bersalam. Hamidi hanya bisu bila aku mencium tangannya. “Asheeka! Mama balik” Sepantas kilat aku dengar larian kakinya menuruni anak tangga. Terkedek-kedek sebelum laju memeluk kedua-dua kakiku. Aku angkatnya. Cium pipinya berkali-kali. “Bila Ary nak berterus terang dengan Shukri? Dengan mama dan papa tentang kita?” tanya Hamidi. Perlahan tapi tegas. Aku letakkan kembali Asheeka di bawah. Mak Temah, pembantu rumah yang baru menuruni tangga terakhir perlahan mendekati, mengambil Asheeka lalu dibawa ke dapur. Seperti mengerti Hamidi dan aku memerlukan ruang. “Sayang, boleh tolong jangan serabutkan fikiran I? I baru tiga hari menikah. Takkan I nak berterus terang sekarang? I need time! Fahamilah I,” aku menghenyak tubuh di sofa. “I je yang perlu faham you? How about me? How about Shika? You tahukah perasaan I sebagai suami? You isteri I, Ary.” Aku diam. Nampaknya pertemuan kali ini pasti berakhir dengan perbalahan lagi.

Aku memandu kereta laju. Airmata yang mengalir juga menderu laju seperti kereta yang kupandu. Aku dihimpit rasa marah dan geram. Berselang seli juga rasa bersalah dan simpati. Hamidi adalah suamiku yang sah di sisi Islam tapi bukan pada pandangan undang-undang Malaysia. Asheeka, anak kecil berusia tiga tahun itu ada buah cinta kami. Kami bernikah ketika aku masih menuntut di tahun pertama Michigan University, USA. Hamidi bukan rakan sekuliah. Tetapi dia hanya seorang pelukis jalanan yang gemar melukis potretku. Pelukis yang hanya kukilas seimbas lalu tiap kali berjalan kaki dari rumah ke kampus bersama rakan-rakan sekuliah. Namun apabila salah seorang rakan senegara memberitahu potretku banyak dilukis oleh pelukis jalanan melayu itu, aku membuat keputusan untuk melihatnya sendiri.

Tepatlah seperti yang dikhabarkan. Tak kurang 4 lukisan yang terpampang wajahku. Ketika itu Hamidi hanya tunduk bisu. Sungguhpun terkejut namun aku kagum dengan lukisan tangannya. Malah aku rasakan potretku kelihatan sangat cantik. “Maaf kerana mengabdikan kecantikan saudari tanpa izin,” lembut tutur katanya buat pertama kali sehingga aku terkesima seketika. Dari situlah bermulanya perkenalan kami dan 3 bulan kemudian kami memutuskan untuk bernikah. Terlalu cepat bukan? Namun perkahwinan ini tanpa pengetahuan keluargaku kerana terlalu banyak alasan dan sebab serta banyak hati yang perlu dijaga. Antara sebab-sebabnya kerana ketika itu aku baru menuntut di tahun pertama dan pastinya keputusan ini dianggap gopoh. Kerana Hamidi baru sahaja 3 bulan kukenali sebelum aku memutuskan untuk bernikah dengannya. Kerana Hamidi hanya pelukis jalanan. Kerana Hamidi dibesarkan di rumah anak-anak yatim dan bukan dari keluarga ternama seperti aku. Kerana aku tahu ayah dan emak ketika itu sudah amat berkenan dengan Syed Shukri dan hanya menunggu masa aku menamatkan pengajian. Kerana status Hamidi di USA tidak ubah seperti pendatang tanpa izin Indonesia di Malaysia. Jadi, adakah wajar tindakanku merahsiakan perkara sebesar ini atas alasan-alasan itu?

Ketika aku melangkah masuk ke rumah, Shukri sedang leka menatap komputer ribanya. Niat aku untuk ke dapur terbantut apabila melihat hidangan untuk minum petang sudah tersedia di atas meja. “Sayang, baru balik? Lepas pergi saloon Ary ke mana?” soal Syed Shukri. Aku mencongak jawapan pantas, “Jumpa kawan kat saloon tadi, so pergi minum-minum and window shopping sekejap.” Aku rasa jawapanku itu sudah cukup meyakinkan dia. Dia angguk. Belum sempat aku menarik nafas lega Shukri bersuara lagi. “I need something to discuss with you. Come here,” katanya sambil menepuk sofa di sebelahnya memintaku duduk. Aku ikut. “Are you sure you want to cancel our honeymoon?” Aku angguk laju. “I’m sorry bang. Next month Heritage Penang dah nak start renovation. There are a lot of things still pending. Jubin yang Ary tempah pun belum sampai. Lain kali baru kita honeymoon ye?” Sekali lagi aku yakin dengan jawapanku walaupun itu bukan alasan utama aku membatalkan bulan madu kami. “As you wish, dear,” jawabnya tersenyum lembut. Selembut sentuhannya ketika memegang tanganku waktu itu. Aku hanya memandang wajahnya yang manis. Lelaki bergaya dan berkarisma di hadapanku ini tiada yang cela. Aku hampir terbuai sebelum ingatanku kembali kepada Hamidi dan Asheeka.

Malam itu aku sedikit keletihan selepas pulang dari majlis makan malam yang diadakan oleh kakitangan Syed’s Textile sempena meraikan perkahwinan kami. Ketika aku sedang menyisir rambut, Shukri menghampiri sambil memelukku dari belakang. Aku tergamam. Tentunya dia mahukan layanan hangat seorang isteri setelah dua malam aku tidak mengendahkannya. Aku hanya berdiri seperti patung. Tidak membalas mahupun menepis. Ketika dia ingin cuba mencium aku, aku teragak-agak. “Abang, Ary period hari ni,” aku beralasan. Shukri senyum lembut, sedikit tidak tergambar reaksi terkilan. “Takpe, itu tak menghalang Abang untuk terus menyayangi dan membelai Ary,” jawabnya tulus. Aku hilang alasan. Tanpa sedar aku hanya membiarkan perlakuannya. Shukri tidak bersalah, dia tak tahu. Aku yang merelakannya yang bersalah.

Tepat jam 3 pagi aku masih terkebil-kebil. Dalam hati aku kini sarat dengan perasaan bersalah terhadap Hamidi. Inilah perkara yang paling Hamidi takuti. Wajarlah dia rasa cemburu sehingga pertemuan kami lewat kebelakangan ini kerap berakhir dengan pertelingkahan. Aku mengalihkan tangan Shukri yang sedang nyenyak tidur dari pinggangku. Perlahan-lahan menuruni tangga terus ke dapur. Aku teguk segelas air sebelum ke meja telefon. Nombor Hamidi ku dail. Tak sampai 3 kali dering, kedengaran suara Hamidi menjawab. “Belum tidur lagi?” tanyaku polos. “Belum, mata tak nak pejam. Tak tahulah kenapa. Ary pulak, kenapa belum tidur?” “Ary…. Ary ada kerja sikit. Tu yang lambat tidur,” bohongku. Tapi Hamidi tak mudah ditipu. “Ada apa-apa you nak bagitahu I? Apa yang berlaku sebenarnya ni?” suara Hamidi kedengaran segar tiba-tiba. “Eh tak ada apa. Betul! Ok la, Ary nak masuk tidur. Peluk cium untuk Sheeka ye.” Aku letak gagang pantas. Lebih lama berbual tentu akan menjerat leherku sendiri. Hamidi masih belum tidur.Aku dapat merasakan hatinya memikirkan aku. Memang wajar dia dipagut risau. Memang wajar.

Aku kuak pintu bilik yang tertulis perkataan Pengarah Urusan – Adrianna Adrian. Selepas menghenyak punggung di kerusi aku mengeluh nafas berat. Hati aku ingin mendail nombor Hamidi – ingin mendengar pelat suara Asheeka tapi pemikiran aku menahannya. Aku meraup muka lantas membuka laptop kemudian menyemak e-mel yang berlumba-lumba masuk memenuhi inbox. Tengahari aku menerima panggil dari ibu mertuaku. Bertanyakan khabar dan menyuruh aku pulang awal berehat. Katanya darah aku masih manis. Darah pengantin baru. Aku tersenyum tawar, nasib baik tidak dapat dilihat ibu mertuaku. Oh… Syarifah Zaharah memang ibu mertua yang baik. Aku tidak mungkin dapat merasai kasih ibu mertua lagi seperti dia selepas ini. Kasih seorang ibu. Aku teringat saat mengandungkan Asheeka di Michigan. Sungguhpun sedang sarat aku tidak pernah ponteng kuliah. Mujur ketika aku bersalin waktu itu sedang musim cuti – aku katakan pada emak University mengadakan lawatan ke Europe jadi aku tidak pulang semester ini. Tapi aku berjanji akan pulang semester depan. Hakikatnya aku menjalani pantang seperti Mat Saleh di sini bersama Hamidi yang langsung tidak tahu prosedur berpantang. Sungguh lucu. Liciknya aku menyembunyikan kisah hidup sehingga setiap kali pulang bercuti ke Malaysia- Hamidi dan Asheeka tidak akan ikut bersama. Apabila keluarga datang melawat – Hamidi dan Asheeka akan keluar dan tinggal di tempat lain beberapa hari. Ia berterusan sehinggalah kami akhirnya pulang ke tanahair. Segalanya telah diatur dengan baik.

Ketukan di pintu mematikan lamunan. Pintu dikuak. Shukri muncul dengan jambangan bunga. “Hai sayang, I’m here to kidnap you,” ucapnya lucu. Aku ketawa dan menyambut jambangan mawar merah darinya. Dia menghulur tangan lagak seorang putera raja. Aku mencapai beg dan menyambut huluran tangannya. Kami beriringan meninggalkan bangunan Heritage Hotel, KL menuju ke Pavillion. Makan tenghari dan membeli belah. Ketika sedang sibuk memilih beg tangan di butik Salvatore Ferragamo telefonku berbunyi. Terpapar nama Hamidi di skrin. Aku jeling Shukri yang memandang wajahku. Aku pantas mengangkat telefon. “Yer Hamidi. Saya cuti hari ni. Apa-apa info mengenai projek kita, you call I dekat ofis besok,” kataku tak beri peluang Hamidi bersuara. Ku dengar dia tergagap sekejap. Lantas aku matikan talian. Kembali membelek beg tangan tadi. Aku memandang Shukri dan dia mengangguk sambil menunjukkan ibu jari menyetujui pilihanku. Kemudian dia membayar beg tersebut setelah aku pasti.

Pagi itu setelah selesai mesyuarat lembaga pengarah aku kembali ke bilikku. Tiba-tiba talianku berbunyi. Sarina sekretariku memaklumkan seseorang bernama Encik Hamidi kawan lama sedang menunggu di ruang tamu. Aku minta Sarina membawa dia masuk. Selepas Hamidi masuk, dia cuma memandang tepat wajahku. Aku jadi gamam. “Dah dua minggu Ary tak balik rumah. Asheeka selalu tanya mana Ary. Ary tak nak balik?” tanya Hamidi. Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Mula berfikir alasan apa yang perlu ku beri. “Maaflah, Ary sibuk betul minggu ni. Nanti bila semua dah ok, Ary balik ye,” aku bersuara perlahan. Hamidi mengeluh. “Sibuk dengan kerja atau sibuk dengan suami baru, Syed Shukri?” sinis soalan Hamidi. “Sayang, Ary malas nak bergaduh dengan you,” aku memotong. Hamidi berang lantas menepuk meja. “Ary dah jatuh cinta dengan Syed Shukri ke? Sebab tu you sanggup lupakan I, lupakan Asheeka?” Aku membiarkan soalan Hamidi begitu saja, pura-pura menyemak dokumen di atas meja. Hamidi bertambah berang lantas merampas fail tersebut dari tanganku. Dibalingnya dokumen tersebut. Aku ibarat disimbah petrol, terus naik hantu. “Hei, you tak ada hak nak buang dokumen tu macam tu. Setiap fail-fail ini bernilai ratusan ribu ringgit tau. Oh.. you memang tak tau nilai duit kan? Maklumlah selama ni I yang memberikan semua kesenangan dan kemewahan. You cuma ada kanvas dan lukisan-lukisan bodoh yang tak laku sahaja. I berikan segalanya, duit, rumah, makan pakai segalanya, yang you banyak sangat komplen kenapa?” aku melepaskan kemarahan tanpa henti. Hamidi benar-benar terkejut. Jelas benar kekecewaan di wajahnya. Lantas dia berundur, lalu keluar tanpa sebarang kata. Aku pula kembali duduk dan menangis dengan seribu satu rasa.

Jujurnya aku akui, aku telah jatuh cinta terhadap Syed Shukri. Perasaan yang datang secara semulajadi tanpa dipaksa-paksa. Tidak ada yang pelik. Shukri memang lelaki yang tiada cacat cela. Segalanya lengkap, kacak, baik hati, romantik, berkarisma dan bijak. Dengan aset-aset ini aku tidak mampu lagi untuk menipu diriku sendiri dan kerana itu aku telah menutup mata mengenai status sebenar perkahwinan kami. Aku melayannya sama seperti seorang isteri melayan suaminya. Kerana itu aku tidak berani pulang ke rumah Hamidi, aku takut dengan perasaan bersalah yang menghantui diriku. Aku takut renungan mata Hamidi seolah-olah memberi amaran siapa diriku yang sebenar. Tapi aku tak mampu meninggalkan Hamidi, kerana Asheeka. Aku tak sanggup berpisah dengan Asheeka. Hari ini disebabkan rasa rindu yang memuncak, aku kembali menjejak kaki ke sini demi Asheeka. Tapi bukan hanya demi Asheeka sahaja.

Aku masuk ke dalam rumah. Aku lihat Mak Temah sedang menyuap Asheeka makan. Seraya melihat aku, terus dia menerpa dan memeluk aku. Hamidi yang ketika itu baru turun dari tangga turut terkejut melihat kedatanganku. Aku memberikan teddy bear dan bungkusan coklat kepada Asheeka. Laju dia menunjukkan kepada Mak Temah coklat dan teddy bearnya. Mata aku kalih kepada Hamidi. Dia cuma senyum tawar melihat aku. “I ada hal penting untuk bincang dengan you,” kataku. Hamidi angguk lalu duduk di sofa tamu. Aku duduk bertentang dengannya kemudian mengeluarkan sesuatu dari tas tangan. Cek RM500,000 aku serahkan kepada Hamidi. Hamidi mengambil cek tersebut, penuh tanda tanya. “Tiap-tiap bulan Ary akan masukkan RM 10,000 dalam akaun you, untuk kegunaan you dan Sheeka. Cek ni pula you gunakanlah untuk apa-apa pun keperluan you cuma satu je I minta….” Hamidi menunggu aku menyusun ayat. “You mesti ceraikan I.” Hamidi berdiri, dia letakkan cek tersebut di atas meja. Kemudian dia melutut di hadapanku sambil memeluk kedua-dua kakiku. “Ary… Ary tolong jangan buat I macam ni. Kasihanlah I. Kasihankan Sheeka. I tak mahu ceraikan you, I tak mahu,” penuh syahdu rayuan Hamidi. Airmataku mula banyak membasahi pipi. “Ary minta maaf, honestly I dah tak cintakan you. Lagipun I dah menduakan you. Ary cintakan Shukri,” aku bersuara lirih. “Tidak! Tidak! You tak boleh tinggalkan I, tinggalkan Asheeka. Ary tak boleh buat macam ni,” Hamidi terus memeluk kakiku. “Adrianna!” Aku menoleh ke arah pintu. Syed Shukri berdiri.di muka pintu. Aku benar-benar tergamam. “Abang, what are you doing here?” aku kaget melihat Shukri ketika itu. “I saw your car out from the office so I followed you. I saw and heard everything. What is it all about, Ary? I need explanation.” Tiba-tiba Asheeka berlari memelukku. “Mama! Mama!” Ketika itu aku rasa seperti hendak pitam dan aku benar-benar rebah.

Keluar dari mahkamah syariah, aku memandang Syed Shukri yang dikelilingi ahli keluarganya. Aku lihat matanya sembap dan bengkak. Begitu jugalah dengan aku. Emak dan ayah pula tak sanggup menemani aku. Belum habis lagi amarah mereka terhadap aku. Mahkamah telah memutuskan perkahwinan aku dan Syed Shukri tidak sah dan dibatalkan. Ketika wartawan mula menyerbu ke arah aku, aku pantas masuk ke dalam tempat duduk belakang kereta. Hamidi berada di tempat duduk hadapan menoleh sekilas padaku. Dari dalam kereta aku dapat lihat Shukri menggelengkan kepala beberapa kali apabila diserbu wartawan. Kemudian kereta perlahan meninggalkan mahkamah. Telefonku berbunyi menandakan ada sms yang masuk. Daripada Shukri. ‘Bukan jodoh kita Ary. Apa yang berlaku jadikan pengajaran. Semoga jadi isteri yang solehah.’ Ringkas smsnya menandakan tiada dendam di hatinya. Tika itu aku rasa terlalu sebak dan pilu.

4 comments:

Khairul Bakhtiar said...

peeehhh...nie SpaQ3 ker?

Lovelyvic said...

Bukan SPA Q, ni Puteri Gunung Ledang siri extended final. Ekekeke, Gusti Putri dh tukar jadi Putri kuat Bergusti

nor dalila said...

seriuslu suka sgt citer u ni. ala2 citer pekahwinan aziz m,osman pon ye jugak. huhu.

V.I.C @ D.I.A.N.A said...

Thanks Dalila...