Wednesday, November 12, 2008

Cinta dan Kasih... Cinta atau kasih??

Harusnya aku belajar sesuatu dari tragedi silam. Aku adalah perempuan yang tahu menilai buruk baik sesuatu perkara. Aku wanita yang tekad dengan sebarang keputusan yang aku yakini akibatnya. Cinta dan kasih.. Cinta atau kasih…

“Along, jaga adik-adik ye. Nanti dua tiga minggu mak datang ambik along dengan adik-adik.” Aku pandang tepat wajahnya yang basah dengan juraian airmata. Matanya bengkak, jelas kelihatan. “Kenapa mak? Kenapa tak boleh ikut mak hari ni?” aku protes. “Mak kena buat banyak benda dulu. Tempat tinggal kita. Nak tukarkan sekolah along dengan adik-adik,” emak menambah. Aku tergamam. Tukar sekolah? Bukankah baru semalam aku berkongsi cerita gembira dengan emak, bahawa tahun depan aku telah dilantik menjadi pengawas sekolah. Tadi cikgu mengukur saiz badan aku untuk dibuat baju pengawas. Tahun depan juga aku bakal ditempatkan di kelas pertama. Baru je semalam aku gambarkan kegembiraan dan rasa tidak sabar aku untuk melangkah ke darjah 6 tahun depan. Macam mana segalanya boleh burubah hari ini? Tapi demi bersama emak, aku tidak ralit tentang itu. Aku cuma mahu bersama emak. Emak yang hatinya telah dilukai dengan parah. Emak yang hatinya telah hancur bersama-sama berita itu, bahawa selama ini dia telah berkongsi cinta ayah bersama wanita lain, wanita yang bukan asing pada kami.

Tapi hari ini, bila perkara ini terjadi, harus aku salahkan siapa kalau tidak diriku sendiri. Cinta dan kasih… Cinta atau kasih. Cinta adalah agung buatku tetapi kasih adalah keutamaan hidupku. Kerana kasihkan mereka, aku masih berpijak di tempat yang sama. Aku lalui fasa demi fasa hidup yang memeritkan. Airmata yang tak pernah jemu mengalir dari pelbagai punca dan sebab tidak cukup menjadi asas yang kuat untuk aku tinggalkan kasih yang telah sebati dalam hidupku.

Di sini kehidupan agak berbeza dari dulu. Jauh beza sebenarnya. Aku kekok pada asalnya. Aku tiada kawan perempuan di sini. Tiada seorang budak perempuan pun yang mahu berkawan dengan aku. Setiap kali aku mengintai mereka bermain batu seremban atau congkak. Mereka akan berbisik-bisik sambil menjeling aku. Adakalanya mereka terus berpindah tempat bermain. Aku sedih. Mungkin cara pemakaian aku yang agak asing pada mereka. Hidup aku memang dibesarkan dengan gaun. Boleh dikatakan 90% baju yang ada dalam almari aku ialah gaun. Malahan ketika di sekolah, aku masih mengenakan pinafore walaupun semua pelajar perempuan melayu lain telah memakai baju kurung. Sehingga aku diarahkan untuk memakai baju kurung, barulah aku meminta emak membelikan baju kurung untukku. Peliknya, ia tidak jelik pula bila aku berada di sekolah lama dan di rumah lama. Kami seolah-olah mempunyai citarasa yang sama. Di sini lain pula ‘budaya’nya. Kawan-kawanku memang ramai. Tapi semuanya lelaki. Yang paling rapat ialah Ijam dan Gie. Kami selalu bermain lumpur dan memancing di kolam dalam belukar sana. Kadang-kadang balik ke rumah dengan selut dan baju yang basah. Merungut-rungut emak. Katanya aku dah lain, suka bermain kotor, sakit kepala melihat aku. Lebih menyakitkan hati bila jiran-jiran mula mengata aku membuat perkara tak senonoh di belukar tu. Hinanya aku rasa. Aku baru dalam darjah enam ketika itu. Aku baru bertatih mengenali dunia yang agak asing pada aku. Tanpa ayah, cuma ada emak. Tiada kawan perempuan. Yang ada cuma lelaki – yang hanya tahu memancing, bermain bola, bermain selut untuk tangkap belut. Jadi, apa lagi pilihan yang aku ada?

Aku dah lalui kesakitan itu. Keluarga yang retak. Jerit pekik ibu bapaku. Tangisan emak yang bertahajjud di tengah malam. Setiap hari, tanpa jemu – mendayu-dayu di cuping telingaku sehingga setiap malam aku berteman airmata. Kami tiga beradik akan berkumpul bersama berpelukan tiap kali pertengkaran emak dan ayah terjadi. Aku telah arif akibat yang bakal berlaku. Kenapa hari ini aku cuba mendekati api yang bakal marak menjilat dan membaham aku tanpa belas? Apa akan jadi pada mereka? Bahagiakah aku setelah aku sangat pasti impak yang bakal kami hadapi.

Aku dah mula rasi dengan hidup begini. Ketika kawan-kawanku di sekolah lama sedang sibuk menelaah pelajaran bagi persediaan UPSR, aku masih begini. Semenjak di sini, buku bukan lagi teman baikku. Di sini, membaca buku dan mengulangkaji dianggap lucu dan hipokrit. Aku cuma sempat curi-curi menelaah bila membantu emak berniaga di kedai nasi ayam pada sebelah malam. Andai pelanggan tidak berapa ramai, aku akan duduk di salah satu meja dan mula membuka buku. Emak cakap, jangan langsung lupakan buku. Apabila embun mula membasahi bumi sekitar 2 pagi, aku akan menyorong basikal dengan tong berisi nasi ayam pulang ke rumah pangsa itu yang jaraknya 2km dari tempat kami berniaga. Setiap hari, tak pernah jemu, tak pernah aku pertikaikan mahupun merungut. Bila pulang, adik perempuanku yang ketika itu baru berusia 9 tahun pasti telah tidur di ruang tamu bersebelahan adik lelakiku yang baru berusia 3 tahun. Masih dalam darjah 3 tapi sudah diamanahkan menjaga adik, membuat susu adik, memujuk adik bila menangis sementara kakak dengan emak mencari rezeki buat keluarga. Tanggungjawab yang terlalu besar untuk anak sekecil dia. Justeru satu hari tatkala kami pulang ke rumah, apabila melihat adik perempuanku tiada di ruang tamu kami terkejut. Terdengar suara halus dari dalam bilik. Bersembang dengan siapa tatkala adik lelakiku sudah lena di ruang tamu? Bila perlahan-lahan kami jengah, aku lihat adikku sedang khusyuk bercakap-cakap dengan dinding. Sesekali ketawa, sesekali menangis. Tatkala itu emak menangis teresak-esak. Adik perempuanku yang menyedari kepulangan kami segera datang memeluk. Aku? Apalagi yang mampu aku lakukan selain turut menangis. Beban dan tanggungjawab ini terlalu berat untuk dia menanggungnya dan kini minda dan perasaannya telah kalah. Aku pasti.. Aku pasti..

Tiap kali pulang dari sekolah, aku lihat dia ada di rumah. Bila ditanya, “tertinggal bas sekolah,” katanya. Kesannya dia kerap menduduki tempat terakhir dalam kelas. Malah mengikut kata guru kelasnya, dia 2 tahun lambat dari kanak-kanak yang seusia dengannya. Adik lelakiku pula, kami gula-gulakan dengan permainan game kotak supaya dia leka. Adakalanya apabila dia tersedar, dia akan keluar dan menangis di tepi longkang sehingga biru mukanya. Bayangkanlah kanak-kanak berusia 3 tahun menangis di tepi longkang di tengah-tengah rumah pangsa tetapi tiada seorang jiran pun yang peduli. Malah siap memaki hamun dari tingkap. Bila emak pulang, pucat lesi muka dia melihat adik aku yang dah kebiruan di tepi longkang. Emak menangis lagi. Sentiasa menangis buat kesekian kali. Kadang-kadang aku mula berfikir, apa akan jadi pada masa akan datang sekiranya kami terus begini. Emak difitnah dengan pelbagai tuduhan. Mereka menggelarkan emak janda anak tiga. Kadang-kadang bila ayah datang melawat kami, orang tuduh emak bermukah dengan bekas suaminya, sedangkan hakikatnya, emak tidak pernah diceraikan. Salah ke seorang bapa melawat anak-anaknya. Salah ke seorang suami menziarah isterinya? Emak telan semua pahit itu seketul-ketul. Aku tahu emak terluka. Sangat terluka. Tunggulah emak. Satu hari segalanya akan kembali seperti sediakala.

Nah, telah ditunjukkan cukup jelas. Keruntuhan institusi rumahtangga bakal memberi impak buruk terhadap mereka yang bergelar anak. Kejadian itu tidak berakhir di situ. Perbualan dengan dinding bukan lagi perkara yang pelik dan ganjil buat adik perempuanku. Adakalanya bila terlalu sedih dia akan menghantukkan kepala pada dinding. Emak sudah tidak kuat untuk mempertahankan keegoaannya mengenai hak penjagaan kami. Akhirnya dengan linangan airmata dan pelukan hangat yang sangat erat, kami bertiga ditukarkan sekolah lagi, kali ini ada ayah dan perempuan itu – tanpa emak di sisi. Dengan ayah aku tidak perlu berniaga sehingga 2 pagi. Tinggal dengan ayah, adik-adikku tidak perlu ditinggalkan berdua-duaan di rumah. Di sini kehidupan kembali terurus. Ada kawan-kawan perempuan, tiada lagi selut dan lumpur. Setiap petang kami akan bermain softball. Tapi hakikatnya, jiwa kami kosong. Dulu walaupun hidup agak sukar tetapi jiwa kami sarat dengan harapan dan semangat. Dibesarkan di rumah asing, bersama keluarga asing bukanlah sesuatu yang menggembirakan buat aku dan adik-adik. Akibatnya setiap hari berlaku pergaduhan antara kami dengan keluarga asing itu. Setiap hari ayah terpaksa menyebelahi kami sekiranya berlaku perselisihan antara kami dengan keluarga asing itu. Sehingga ia mencetuskan suasana yang tidak harmoni. Aku pula… selaku anak yang paling keras dan kasar sikapnya, telah kerap benar memberi pengajaran kepada si perempuan itu kerana cuba mempengaruhi kami dan kerana berani berdiri di tengah-tengah institusi keluarga kami yang dulunya sangat aku banggakan.

Jadi… tahukah sekarang kenapa aku sangat membenci orang seperti dia? Aku tak mahu jadi perempuan seperti itu mahupun sekutunya. Dalam hati ini tak pernah aku berikan walaupun sekelumit maaf untuk keluarga asing itu. Selagi aku ada, aku akan pastikan wanita asing itu diberikan pengajaran yang sewajarnya. Mustahil dia bahagia dengan apa yang dia alami hari demi hari, lebih-lebih lagi lewat kebelakangan ini. Walaupun lebih sedekad berlalu, tak pernah kami menerima keluarga asing itu. Jadi, kenapa aku perlu jadi seperti dia? Sedangkan orang seperti itu hidupnya hanya pura-pura bahagia sedangkan hakikat adalah sebaliknya? Penting sangat ke cinta hingga sanggup mengorbankan kasih orang-orang yang sentiasa menyayangi kita? Mengorbankan rasa kasih sebagai seorang manusia dengan manusia yang lain? Merampas hak si kecil? Sekejam itukah kita tergamak mengorbankan kasih untuk cinta? Tak mungkin. Aku bukan seperti itu dan tidak akan jadi seperti itu. Kasih adalah priority dalam hidup aku dan aku akan kotakan. Ini janji anak ayah yang tak pernah kalah.

1 comment:

baby diapers said...

so sad..seriously..touching abis..tahan airmata coz i kt ofis..walau duk dlm bilik sendiri..tp org bleh nmpk melalui cermin tingkap n pintu..waaaa