Monday, September 22, 2008

Cerpen - Kasihnya Ibu

Aku kilas jam di tangan. Sekejap-sekejap bangun berkalih duduk. Semenjak akhir-akhir ini mudah benar rasa sengal-sengal badan duduk berlama-lama. Punggung rasa kematu. Aku mula mencongak-congak agaknya bila giliran aku menemui doktor. Sesekali aku mengusap perut seraya tersenyum nipis. “Ibu ada di sini, kenapa? Takut ke? Takut jumpa doktor?” Bisikku yang aku sendiri saja yang mendengar, ditujukan khas untuk dia, kandunganku yang berusia 7 bulan.

Aku toleh kiri dan kanan, lebih kurang 3 pasangan sedang duduk bersama. Adakalanya terdengar suara-suara halus dan manja antara mereka. Ahh… aku tak pernah rasai pengalaman itu. Ditemani untuk ke klinik, di tatang bagaikan minyak yang penuh, waima merasai perutku diusap penuh kasih. Tidak pernah. Kadang-kadang aku terkilan. Kalau terasa hendak makan sesuatu, aku akan mencari sendiri. Adakalanya… aku pendamkan saja. Kalau abang Taufiq ada, tentu dia akan bersusah payah mencari makanan yang kuidam. Agaknya, kalau arwah Abang Taufiq ada, tatkala aku mengidam air kelapa, suami lain akan pergi mencari air mahupun buah kelapa di kedai, tapi abang Taufiq, panjat pokok kelapa pun dia sanggup demi aku. Itu kalau abang Taufiq masih ada.

Aku masuk ke dalam bilik doktor apabila namaku dipanggil. “Sihat hari ni Misha?” Aku angguk senyum pada Doktor Prema. Selesai menjalani pemeriksaan rutin ke atas kandunganku dia kembali ke tempat duduknya. “She’s in good condition. Make sure take your supplements and drink a lot of water.” Itulah pesanannya tiap kali selesai memeriksa aku. She? Ya, anakku seorang perempuan. Telah aku siapkan nama indah yang bakal tercatit di dalam sijil beranaknya. Rashika Mirza binti Ahmad Taufiq.

Lebih dari 2 bulan telah berlalu. Aku sudah mula mengambil cuti bersalin. Tapi Rashika Mirza belum tiba masanya menjengah dunia. Aku mengemas beg, memasukkan 2 helai kain batik, baju basahan, 2 helai pakaian bayi, lampin, botol susu. Oh.. tak sabar rasanya nak melihat Rashika memakai pakaian ni. Aku yang memilihnya sendiri. Bersusah payah aku meredah kesibukan ibu kota. Bersesak-sesak di pasaraya Sogo ketika Karnival Mega Sales. Mencari baju yang comel dan menarik buat Rashika. Tentu Rashika bahagia apabila memakai pakaian comel ini. Petang itu aku memandu sendiri ke hospital. Kalau rasa sakit hendak bersalin, biarlah ketika aku di hospital. Jika berseorangan di rumah, siapa pula yang akan menghantarku.

Jam tepat menunjukkan 11.11 pagi tatkala aku dengar tangisan pertama Rashika Mirza. Lega sungguh. Setelah dibersihkan Rashika diletakkan dalam dakapanku. Aku cium pipinya berkali-kali. Perlahan-lahan aku iqamat ke telinga kanannya. “Maaf Shika, hanya ibu yang ada untuk melakukan tugas ini. Moga jadi anak yang solehah ye sayang,” sayup-sayup aku bisik ke telinganya. Aku lihat dia angguk dengan mata yang terpejam rapat. Mungkin dia faham.

Membesarkan Rashika Mirza sendirian bukanlah sesuatu yang mudah. Tapi melihat keletahnya yang bijak dan genit, aku tidak terasa kepayahan itu. Rashika anak yang bijak. Dia seolah-olah mengerti statusnya sebagai anak yatim, tidak pernah membebankan aku dengan perkara yang berat. Semakin besar, semakin terserlah kebijaksanaannya apabila dia menduduki tempat pertama di dalam kelas setiap kali peperiksaan. Mungkin dia mewarisi kebijaksanaan abang Taufiq. Satu perkara yang tak pernah aku lupa, ialah menceritakan kepadanya tentang abang Taufiq, ayahnya yang baik dan penyayang. Album gambar aku dan Taufiq kerap menjadi tatapannya. “Abah segak ye, ibu?” Aku senyum angguk. “Wajah Shika macam Abahlah. Hidung Shika, Mata Shika. Sama macam Abah,” balasku. Shika senyum bangga. Adanya Shika, tak pernah aku rasa keseorangan. Seolah-olah hidupku sangat lengkap. Kerana itu tak pernah aku terfikir untuk menerima seseorang menggantikan tempat abang Taufiq. Tak pernah.

Sebelum tidur aku akan bacakan cerita dongeng Cinderella ataupun Snow White kepadanya. Walaupun berulang-ulang, dia tak pernah jemu. Cuma apabila semakin bijak berfikir dia mula bertanya, “Ibu lepas kahwin Cinderella dapat berapa orang anak?” Aku jawab “Tiga orang.” “Comel tak ibu anak Cinderella?” “Comel sangat.” “Nanti bila anak dia dah besar, kahwin dengan putera raja juga ke, ibu?” Meletus ketawa aku dengan pertanyaan Shika. “Iya. Sekarang Shika tidur dulu ya. Mimpi kahwin dengan anak raja macam anak Cinderella,” kataku. Shika senyum. Aku menarik selimut menutup tubuhnya. Setelah yakin dia tidur aku mula mengingati Taufiq seperti biasa. Sehingga airmata akan menemani tidurku seperti malam-malam sebelumnya. “Abang, amat payah membesarkan Shika tanpa abang di sisi.”


Masa berlalu dengan pantas, hari ini aku membuat sedikit jamuan makan sempena meraikan keputusan cemerlang peperiksaan SPM Rashika. Katanya, ada tetamu istimewa yang hendak diperkenalkan kepada aku. Pastinya lelaki. Wah… muda remaja sudah ada yang istimewa? Tanpa sedar aku terlupa yang Shika semakin dewasa, bukan lagi anak kecil yang perlu ditidurkan dengan kisah dongeng lagi. Aku sendiri di kala usia 40an mula berfikir, seandainya Shika berkahwin dan mengikut suaminya. Bagaimana dengan aku? Ah… aku mula takut pada kenyataan-kenyataan ini. Lelaki itu datang ketika pertengahan jamuan. Tatkala kakinya masuk memijak lantai rumah aku, aku diserbu perasaan yang sukar dimengertikan. Aku seolah-olah hampir pengsan, seperti melihat Abang Taufiq berdiri dihadapanku. Dia menghulur tangan bersalam, mencium hormat tanganku. Aku kaku. Shika cukup gembira dapat memperkenalkan Ahmad Nazim kepadaku. Tapi aku dapat merasakan musibah yang sedang menunggu.

“Ibu tak suka Nazim ke?” tanya Shika tatkala dia mengambil bantal lalu duduk di atas sofa bersebelahanku. Ketika itu semua tetamu telah pulang. Aku usap kepala Shika, “Siapa kata ibu tak suka Nazim?” “Habis tu kenapa ibu diam je masa Shika perkenalkan Nazim pada ibu?” tanya Shika lagi. Kepalanya disandarkan pada bahuku. “Ibu kagum dengan pilihan Shika, kacak orangnya. Terpegun ibu,” aku berbohong. Shika senyum malu. “Shika kenal keluarga Nazim?” aku bertanya lanjut. “Dia anak orang berada, ibu. Shika tak pernah jumpa ibunya. Tapi namanya Datin Marina.” Aku berdiri apabila mendengar nama wanita itu. Rasa semacam tidak sanggup untuk mendengar bait-bait seterusnya dari mulut Shika. “Ayahnya dah lama meninggal. Nama ayahnya sama dengan nama ayah Shika bu, bezanya ayahnya ada gelaran Dato’.” Tika itu umpama halilintar tepat memanah jantungku, dan tanpa disedari Rashika, airmataku jatuh selebatnya.

Aku menunggu Shika di muka pintu. Di tanganku ada surat istimewa untuk Shika. Semasa di talian telefon tadi, Shika dalam perjalanan pulang ke rumah. Suaranya tidak ceria. Tak apa, nanti lepas Rashika membaca surat ini pasti dia akan kembali ceria. Shika memarkir kereta, lalu masuk ke rumah. Wajahnya sangat sugul. Dia duduk di atas sofa. Aku duduk di sebelahnya. “Kenapa sedih ni sayang? Mama ada surat untuk Shika tau. Mesti Shika gembira.” Shika diam macam batu. Aku buka surat itu untuknya. Aku tunjukkan isi kandungan surat tersebut. “Shika dapat tawaran belajar di Michigan University, USA. Bacalah,” aku unjuk surat itu kepadanya. Tba-tiba airmata Shika mengalir. “Shika anak siapa bu? Ayah Shika dan ayah Nazim orang yang sama kan? Datin Marina ibu tiri Shika kan ibu? Ibu isteri kedua ayah kan? Datin Marina hina kita bu. Dia tuduh Shika macam-macam. Dia kata ibu perampas suami orang. Betul ke ibu? Betul ke?” Surat di tangan terlepas. Aku tersandar di dinding. Perlahan-lahan kenangan itu datang menerjah. Aku terjelupuk jatuh. Menangis bersungguh-sungguh.

Sewaktu Dato’ Taufiq melamarku, ketika itu aku merupakan setiausaha peribadinya. Berat betul untuk menerima lamaran itu sementelah aku sedari dia telah berumahtangga dan mempunyai 3 orang anak. Tapi satu perkara yang tak mampu aku nafi, aku memang menyintai dia. Bukan kerana hartanya. Mungkin kerana dialah lelaki yang paling rapat denganku dan aku telah mengenalinya luar dan dalam. Kesungguhan dan keikhlasannya terus merantai aku. Lalu aku mengambil keputusan sanggup menempuh onak duri demi bersamanya. Keputusanku mendapat tentangan hebat dari keluarga, justeru, tatkala aku mengambil keputusan muktamad untuk mengahwini Dato’ Ahamd Taufiq aku telah dihalau keluar dari rumah. Ayah mengambil keputusan tegas. Harmisha Azreen bukan lagi anak perempuannya. Putus hubungan keluarga antara kami. Hampir setahun perkahwinan rahsia kami. Segalanya amat bahagia. Abang Taufiq seorang suami yang penyayang dan bertanggung jawab. Namun panas tidak sampai ke petang. Ketika Datin Marina mengetahui perkahwinan rahsia ini, aku telah diserang dengan teruk di pejabat. Aku ditampar dan dipukul sekuat hati di hadapan semua pekerja. Kemudian Taufiq memecat aku demi keselamatanku dan paksaan daripada Datin Marina. Aku tak putus asa. Beberapa hari kemudian aku mendapat tawaran kerja yang lebih baik. Abang Taufiq tidak lagi pulang ke rumah hampir 2 minggu. Tapi dia selalu menelefonku bertanya khabar.

Apabila keadaan reda, Abang Taufiq kembali melawatku seperti biasa dan perkara ini dapat dihidu oleh Datin Marina. Kerap dia ke rumahku dan menyerang aku. Tapi abang Taufiq menyuruhku bersabar dan tenang menghadapi dugaan. Katanya, isteri yang tabah dan pasrah seperti aku pasti ada hikmah yang baik menunggu kelak. Beberapa bulan kemudian Abang Taufiq diserang strok yang menyebabkan dia lumpuh. Tika itu Datin Marina dan pemandunya datang ke rumahku dan membawa abang Taufiq yang tak berdaya lagi. Aku masih ingat kata-katanya, “Kau cintakan sangat Taufiq kan? Ha… kalau cinta sangat kau ambiklah dan jaga dia. Jangan masa senang je engkau nak.” Lalu Datin Marina pulang setelah pemandunya meletakkan abang Taufiq di katil aku. Sungguh aku gembira dapat bersama abang Taufiq kembali tapi aku sebak melihat keadaannya. Tika aku genggam tangan abang Taufiq, aku lihat airmatanya mengalir laju membasahi bantal. “Maafkan abang, selama ini tak berlaku adil terhadap Misha dan hari ini terpaksa membebankan Misha.” Aku menggelengkan kepala. Aku cium tangannya berkali-kali. Perlahan aku bersuara, “Tidak bang, Misha bersyukur, abang kembali kepada Misha.” Tapi tempohnya sesingkat sebulan cuma sebelum abang Taufiq pergi buat selama-lamanya di atas pangkuan aku. Aku yang membisikkan 2 kalimah syahadah di telinganya tika itu dan dia ikut penuh tertib. Segala urusan pengkebumian aku dan pihak masjid yang menguruskan. Datin Marina dan 3 orang anak-anak mereka yang masih kecil turut datang di majlis pengkebumian. Aku pasrah. Tika itu benih abang Taufiq sudah 3 bulan lebih di dalam rahimku.


Kemudian aku membawa diri berpindah ke daerah lain. Rumah itu terlalu bernostalgia sehingga aku tak mampu untuk hidup seperti sediakala. Tinggallah rumah itu. Tinggallah Datin Marina dan keluarganya. Tinggallah pusara abang. Tetapi, Misha tak akan berhenti mengirimkan doa buat abang. Moga abang bersemadi dengan aman….
Pada Rashika telah kuceritakan segala-galanya.


“Menung apa bu?” Shika menyergahku dari belakang. Aku pukul lembut tangannya. “Terkejut tau, Ibu. Tak ada apa. Teringat kisah-kisah lama. Cepat habis kelas hari ni?” getusku. “Ya, Mr John tamatkan kelas awal. Ibu… janganlah diingat kisah-kisah lama tu. Hari ni kita dah tinggalkan semuanya. Shika ada ibu. Ibu ada Shika. Itu je yang penting.” Aku senyum mendengar kata-katanya. Shika peluk aku dari belakang. Melagakan pipi kami. Dari tingkap tempat aku duduk, jelas kelihatan rintik-rintik salji di bumi Amerika Syarikat ini. Aku telah bersedia untuk menempuh hari muka…

Nota: Cerpen ini aku dedikasikan buat insan yang dikasihi. Kaulah pencetus inspirasiku dalam menghasilkan cerpen ini. Maafkan mommy.

No comments: