Saturday, December 15, 2007

Abang, maafkan aku...

Abang,
Akhirnya kau luangkan jua masa berhargamu membuka laman ni. Barangkali kau tidak menyangka sama sekali ada titipan khas buatmu yang ku coretkan di laman blog milikku ini. Aku tak pasti di mana aku ketika kau membaca coretan ni. Mungkin masih sempat…

Abang,
Masih jelas di ingatanku di hari bersejarah kita. Saat itu kau dan aku sama-sama mengenakan pakaian indah serba biru berceperana atas pelamin bertenda biru. Ramai kenalan kita yang hadir. Kau sungguh segak dan tampan tika itu. Tidak hairanlah ramai yang memujimu. Bangga aku yang bertuah menjadi pilihanmu. Pada ketika itu, aku amat yakin, bahagia itu milik kita. Aku juga yakin akan Cinta itu sementelah kaulah lelaki yang amat aku senangi, paling rapat dan paling memahamiku. Padaku, apabila kita menyenangi seseorang itu, berasa selamat dengannya dan saling mempercayai, itu sudah cukup memaknakan cinta.

Abang,
Bertahun berlalu, segalanya nampak mudah untuk kita tempuhi. Walaupun ada sedikit kekurangan dalam bahtera suami isteri kita, tapi itu tidak menjadi antah dan petualang. Kita berjaya melepasi beberapa fasa keperitan dan kesusahan sehinggalah tiba detik hitam itu. Aku sendiri kurang pasti saat bila aku dipermainkan perasaan sendiri. Mungkin benarlah kata pujangga, Cinta sejati bukanlah harus diukur dari jarak waktu hubungan itu mampu bertahan, tetapi jarak waktu itu seharusnya membuatkan cinta semakin subur dan mekar. Mungkin inilah yang tidak terjadi dalam bahtera perkahwinan kita.

Abang,
Tidak kunafikan ketulusan dan kasih sayangmu. Kau bersengkang mata saat aku kesakitan, turut sama berkongsi kesakitanku. Ringan tulangmu membantuku dalam menguruskan rumahtangga kita. Sabar dan tenang dengan keletahku yang sukar diduga. Kau tahu betapa sukarnya aku memupuk perasaan cinta itu tapi kau sabar dan percaya impak cinta yang besar mampu terjadi dengan kejujuran dan ketulusan kecil yang tiada henti. Apalah dayaku bang, hati dan perasaanku ini tak mampu mengerti.

Abang,
Kukira kau pasti takkan bisa melupakan detik itu. Peristiwa yang memberi tamparan hebat dalam kesinambungan hidup kita. Barangkali kau berpura-pura melupakan tragedi pahit itu. Barangkali sakit dek penangan kesilapanku itu masih berbirat di hatimu. Aku tak pernah lupa peristiwa itu bang. Malah ianya tak semudah itu melupakannya. Melupakan makna Cinta. Seperti kata pujangga cinta Dale F Mead, ‘Aku mula jatuh cinta apabila aku menyangka dia adalah orang yang kucari-cari, tetapi aku menyintai sepenuh hati setelah tahu siapa dirinya sebenar.’ Aku bukan wanita kejam yang tiada sifat kemanusiaan. Aku tahu kondisi diriku, lantaran itu aku kerap menangis memarahi diri. Kau sendiri pernah menegur perubahanku bila kau menyedari aku kerap termenung dan airmataku kerap benar mengalir secara tiba-tiba. Aku berusaha bang. Tetapi hati dan perasaanku tidak pernah membakul sampahkan dia seperti kehendakmu kerana aku tidak pernah meletakkan ia sebagai kesilapan seperti fitrah dan persepsimu. Cinta tak pernah silap, keadaan yang membuatkan ianya salah.

Abang,
Kini, tiap kali mengunjungi majlis perkahwinan, aku seperti kepingin sekali membisikkan kepada pengantin perempuan, “Adakah kau benar bersedia menempuh alam ini? Adakah lelaki itu pilihanmu yang hakiki? Usahlah senyum dan terlalu gembira, sebab yang menunggumu penuh pancaroba.” Kau sendiri mengakui kata-kataku itu saat kita sama-sama meluahkan rasa tempoh hari. Aku tahu jauh di sudut hatimu, pasti ada rasa terkilan yang tertanam. Begitu juga denganku bang. Bezanya aku kerap menunjukkan reaksi terkilan itu manakala kau lebih selesa memendamnya.

Abang,
Sebenarnya aku yakini kejujuranmu. Cuma aku cuba membohongi perasaan sendiri dan berpura-pura mencurigaimu. Barangkali aku cuma ingin melegakan perasaan sendiri. Barangkali aku cuba memujuk hati yang telah gagal memainkan peranan isteri. Kau lelaki muda dan sihat, manakan mungkin lelaki muda dan sihat sepertimu sanggup memberbodohkan diri untuk menunggu isteri yang sepertiku? Kau telah kumomokkan dengan cerita ketidakupayaanku. Kegagalan aku melayanmu selayaknya seorang isteri, ku maksudkan dengan penyakit. Tapi, hakikatnya akan kau ketahui juga. Kau sedikit pun tak gentar, tegar dengan pendirianmu. Barangkali perasaanku ini terlalu bodoh dan bengap untuk menyedari kilauan berlian hatimu itu.

Abang,
Barangkali terlalu besar dosa untuk si’nusyuz’ sepertiku sehingga Allah membalasnya di dunia juga, tidak menunggu kembalinya aku ke-sisiNya. Aku pasrah bang. Saat keputusan ujian itu kudengar dari mulut doktor, wajahmu yang terbayang di birai mata. Inikah hukuman yang harus kuterima? Rupanya ketumbuhan kecil yang kuanggap biasa bakal merubah segalanya. Mungkin kau sendiri tak menyedarinya sementelah kau sendiri telah aku tidakkan hak untuk meneliti setiap inci tubuhku lagi. Berdosanya aku, bang. Mungkin inilah yang terbaik untukmu. Mudah-mudahan dengan kepergianku ini, membuka peluang buatmu mencari pengganti yang jauh lebih baik dari diriku yang kerap melimpahkan duka dan menyimbah api sengsara dalam hidupmu. Moga bahagia akan mengelilingimu kelak.

Abang,
Nanti, tatkala mereka menyerahkan barangan milikku kepadamu aku harap kau cukup tabah untuk mengetahui hakikat sebenar. Diari hitam itu, ku harap kau baca dengan tenang kerana setiap lembarannya adalah larian penaku yang tak pernah menipu. Aku pasti ia bakal menggarit lagi perasaanmu, tapi aku pohon padamu, kasihanilah aku. Usahlah kau letakkan rasa benci dan dendam mengiringi pemergianku. Aku pohon bang. Ampunkanlah isterimu. Fahamilah ketidakupayaan perasaanku.

Abang,
Maaf bang, perginya aku tanpa meninggalkan sekelumit pun harta hakiki. Tiada zuriat penyambung keturunan kita, tapi aku yakin kau akan memilikinya suatu hari nanti. Abang, andainya pernah hatta walau sekali pun aku membahagiakanmu dan membawa ceria dalam hari-harimu dulu, kau titipkanlah doa dan Fatihah buatku walaupun mungkin tidak layak syurga untuk isteri yang sepertiku ini. Aku tidak punya cahaya mata untuk kuharapkan doa tulus, tapi doa dan kemaafan darimu barangkali dapat menerangi pusaraku yang kegelapan, menyelimuti jasadku yang kedinginan dimamah bumi. Selamat tinggal bang.

No comments: